KUALA LUMPUR – MKS Inc, penyedia teknologi global yang memacu inovasi pelbagai industri, telah membuka kilang supercenter di Pulau Pinang.
Terletak di tapak seluas 17 ekar dengan keluasan binaan kira-kira 350,000 kaki persegi, kemudahan itu akan menyokong permintaan global yang semakin meningkat bagi peralatan fabrikasi wafer semikonduktor.
Projek yang dibangunkan secara berfasa itu kini telah menyiapkan fasa pertamanya.
Apabila semua fasa siap sepenuhnya, kilang supercenter tersebut dijangka mewujudkan lebih 1,000 peluang pekerjaan serta melibatkan pelaburan strategik melebihi RM400 juta, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pilihan bagi pelaburan teknologi tinggi dan bernilai tinggi selaras dengan aspirasi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.
Pembukaan kemudahan itu menonjolkan peranan Malaysia yang semakin berkembang sebagai hab pembuatan termaju dan inovasi semikonduktor.
Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pelaburan MKS mencerminkan peralihan Malaysia ke arah aktiviti pembuatan bernilai tinggi dan dipacu teknologi.
Beliau berkata, industri elektrik dan elektronik (E&E) merekodkan pelaburan diluluskan sebanyak RM3.5 bilion pada suku pertama 2026, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai tonggak utama sektor pembuatan negara.
Menurutnya, selain skala pelaburan yang besar, projek itu dijangka memperkukuh keupayaan rantaian bekalan domestik, meningkatkan kerjasama antara industri dan institusi akademik dalam pembangunan bakat serta membuka lebih banyak peluang kepada syarikat tempatan untuk terlibat dalam aktiviti bernilai tinggi.
Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif MKS, John T.C. Lee berkata, pembukaan kilang supercenter di Pulau Pinang mencerminkan kekuatan ekosistem perindustrian Malaysia, bakat tempatan dan komitmen bersama terhadap inovasi.
Katanya, kemudahan baharu itu membolehkan MKS berada lebih dekat dengan pelanggan dan rakan kongsi, sekali gus meningkatkan keupayaan syarikat dalam menyediakan penyelesaian pembuatan semikonduktor termaju serta menyumbang kepada kemajuan rantaian nilai global.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada MIDA dan kerajaan Malaysia atas sokongan berterusan sepanjang perjalanan pelaburan syarikat itu di negara ini.
Majlis pembukaan tersebut turut mengetengahkan perkembangan projek dan teknologi MKS serta mengiktiraf kerjasama erat antara MKS, MIDA dan InvestPenang.
Pelaburan itu dijangka terus memperkukuh peranan strategik Malaysia dalam ekosistem semikonduktor global di samping meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, keupayaan pembuatan termaju dan pertumbuhan industri jangka panjang negara. – MalaysiaGazette
















