KUALA LUMPUR – Tindakan nekad beberapa pendatang asing tanpa izin (PATI) cuba bersembunyi di atas bumbung rumah kedai tiga tingkat elak daripada dicekup didapati gagal apabila dikesan dalam serbuan di sekitar pasar Pudu di sini awal pagi tadi.

Ada juga yang bersembunyi di celah tilam dan memberi alasan sakit perut selepas enggan membuka pintu ketika diarahkan pihak penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur.

Tinjauan MalaysiaGazette yang mengikuti Ops Kutip bermula 12.05 tengah malam itu turut mendapati lokasi terbabit menjadi penempatan ratusan warga asing selain tempat mereka mencari sumber pendapatan.
Bukan itu sahaja, persekitaran kawasan berkenaan juga dipenuhi dengan longgokan sampah yang berair, berbau busuk selain keadaan tidak terurus yang mengundang kehadiran haiwan perosak.
Manakala di bahagian bawah bangunan tiga tingkat yang berdekatan pasar menempatkan beberapa premis perniagaan yang menjual barangan keperluan harian, sayur-sayuran, buah- buahan dan makanan.

Seorang lelaki warga Bangladesh, Kachol, 19 yang ditemui mengakui sudah menetap di kawasan itu hampir setahun dan menyewa bilik di bangunan berkenaan dengan kadar sewa antara RM200 hingga RM400 sebulan.
“Saya sewa di tingkat dua dengan bayaran RM200 sebulan dan kerja angkat barang di pasar. Saya sudah duduk sini setahun,” katanya ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, individu tempatan yang mahu dikenali sebagai Rahman pula berkata, kehadiran warga asing di Pasar Pudu bukan lagi perkara baharu kerana kebanyakan mereka bekerja di pasar dan sektor pekerjaan sekitar kawasan itu.
“Hampir setiap hari warga asing bertambah di sini dan sesak dengan mereka yang bekerja di pasar dan kawasan sekitar malah ada yang tinggal beramai-ramai dalam satu bilik.
“Ada juga yang buat meludah sana sini dan buang sampah merata-rata, buatkan kami dan pengunjung yang datang ke kawasan ini rasa kurang selesa,” jelasnya.
Sementara itu, JIM Kuala Lumpur dalam kenyataan berkata, operasi terbabit dilakukan hasil aduan awam serta rungutan penduduk berhubung kebanjiran warga asing di sekitar Pasar Pudu.
Seramai 137 pegawai dan anggota daripada JIM Kuala Lumpur, JIM Putrajaya, JIM Selangor, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) turut terlibat.
“Kita telah memeriksa seramai 320 individu dan daripada jumlah itu 186 PATI)ditahan melibatkan 149 lelaki dan 37 wanita yang disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
“Antara kesalahan dikesan adalah tinggal lebih masa mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah di bawah Seksyen 6(1)(c) akta sama,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















