KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 resolusi diluluskan bagi memperkukuh pengurusan isu pelarian di Malaysia termasuk menolak kebencian dan diskriminasi terhadap pelarian, memperkasa akses pendidikan kanak-kanak serta menggesa kerajaan merangka pelan tindakan yang lebih holistik dan bersepadu.
Ia dicapai menerusi Persidangan Hari Pelarian Sedunia 2026 yang menghimpunkan wakil kerajaan, pertubuhan masyarakat madani, institusi akademik, badan kemanusiaan, organisasi antarabangsa serta pelbagai pihak berkepentingan yang berlangsung hari ini.
Persidangan bertemakan Until Everyone Is Safe itu berlangsung di Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam (IAIS Malaysia) dan dianjurkan oleh Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) bersama Global Peace Mission (GPM) Malaysia.
Antara resolusi yang dipersetujui ialah penolakan terhadap segala bentuk kebencian, diskriminasi, dehumanisasi dan hasutan terhadap pelarian, pencari suaka serta golongan rentan.
Pada masa sama, peserta turut mengiktiraf kebimbangan masyarakat berkaitan aspek keselamatan, penguatkuasaan undang-undang, kesejahteraan sosial dan keharmonian komuniti yang perlu ditangani secara bertanggungjawab serta berasaskan fakta.
Persidangan itu turut menyatakan sokongan terhadap pendekatan penyelesaian yang berteraskan kemanusiaan, keadilan, maruah insan dan perkongsian tanggungjawab antara kerajaan, masyarakat madani serta komuniti antarabangsa.
Dalam aspek pendidikan, para peserta mengiktiraf hak setiap kanak-kanak untuk mendapat akses kepada pendidikan berkualiti tanpa diskriminasi selain menggalakkan pelaksanaan program pendidikan orientasi budaya, pematuhan undang-undang, nilai hidup bermasyarakat dan tanggungjawab sosial bagi membantu pelarian menyesuaikan diri dengan norma serta budaya masyarakat Malaysia.
Selain itu, persidangan menyokong usaha kerajaan dengan kerjasama Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) dan pihak berkepentingan untuk memperkukuh pengumpulan data, pendaftaran serta dokumentasi pelarian bagi memastikan pengurusan yang lebih teratur, telus dan berkesan.
Peserta juga menekankan keperluan memperkukuh kerjasama antara kerajaan, UNHCR, masyarakat madani, institusi pendidikan, organisasi keagamaan, sektor swasta dan agensi antarabangsa dalam menangani isu pelarian secara menyeluruh.
Resolusi lain termasuk memperkasakan pendidikan awam dan literasi media bagi menangani penyebaran maklumat palsu, ucapan kebencian serta sentimen xenofobia yang boleh menggugat keharmonian masyarakat.
Persidangan turut mencadangkan penubuhan mekanisme sokongan komunikasi dan advokasi bagi membantu NGO, aktivis serta organisasi kemanusiaan berdepan serangan, fitnah, disinformasi dan kempen kebencian di media sosial.
Dalam deklarasi yang dikeluarkan, para peserta menegaskan bahawa tema Until Everyone Is Safe bukan sekadar slogan sambutan, sebaliknya merupakan komitmen moral dan kemanusiaan yang mengingatkan bahawa keselamatan, maruah dan hak asasi setiap insan saling berkait.
“Penyelesaian terhadap isu pelarian mestilah berteraskan keadilan, belas ihsan, tanggungjawab bersama dan penghormatan terhadap martabat manusia,” menurut deklarasi itu.
Bersempena semangat Maal Hijrah 1448H, peserta persidangan turut menyeru semua pihak agar menolak kebencian, memperkukuh budaya damai serta bersama-sama membina masa depan yang lebih aman, inklusif dan berperikemanusiaan. – MalaysiaGazette
















