Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris pada Majlis helikopter EC 725 AP/H225M. Gambar: Ihsan TUDM.

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) hari ini menerima penyerahan rasmi Sistem Persenjataan FN MAG 58M berkaliber 7.62mm bagi helikopter EC 725 AP/H225M sekali gus memperkukuhkan keupayaan operasi Combat Search and Rescue (CSAR) dalam melaksanakan misi menyelamat di kawasan berisiko tinggi.

TUDM dalam kenyataan memaklumkan, perolehan sistem persenjataan itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pasukan untuk meningkatkan kesiapsiagaan dan keberkesanan aset udara selaras dengan Pelan Pembangunan Keupayaan TUDM 2055 (CAP 55).

Menurutnya, helikopter EC 725 AP/H225M merupakan antara aset utama TUDM yang berkeupayaan melaksanakan pelbagai jenis misi termasuk operasi CSAR, bantuan kemanusiaan, pengangkutan taktikal serta operasi khas.

“Keperluan operasi CSAR yang memerlukan perlindungan kendiri ketika berada di kawasan ancaman mendorong pelaksanaan perolehan awal sistem persenjataan tersebut bagi dipasang pada helikopter berkenaan.

“Sistem itu dijangka meningkatkan tahap keselamatan anak kapal dan anggota yang terlibat dalam misi menyelamat sekaligus membolehkan operasi dilaksanakan dengan lebih berkesan dan selamat,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Kerajaan Malaysia telah menandatangani Surat Tawaran Penerimaan (LOA) bersama syarikat pembuat senjata dari Belgium, FN Herstal, bagi perolehan lima unit mesingan FN MAG 58M berkaliber 7.62mm.

Senjata berkenaan merupakan antara sistem persenjataan yang telah terbukti keberkesanannya dan digunakan secara meluas oleh angkatan tentera di seluruh dunia.

Katanya, sebelum penyerahan rasmi dibuat, proses Ujian Penerimaan Muktamad (FAT) telah dilaksanakan bermula 30 Mac hingga 4 Jun lalu melibatkan No. 10 Skuadron di Pangkalan Udara Kuantan dan No. 5 Skuadron di Pangkalan Udara Labuan.

Pengujian tersebut bertujuan memastikan setiap sistem memenuhi spesifikasi teknikal, standard keselamatan serta keperluan operasi yang ditetapkan oleh TUDM.

Majlis penyerahan rasmi sistem persenjataan itu disempurnakan oleh wakil Airbus Helicopters, Axel de Pascal selaku Pengarah Urusan syarikat berkenaan kepada Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Muhamad Norazlan Aris.

TUDM memaklumkan perolehan tersebut mencerminkan komitmen berterusan pasukan itu dalam memperkasakan keupayaan operasi udara negara serta memastikan kesiapsiagaan aset sentiasa berada pada tahap optimum. — MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast