Dr Muhamad Akmal Salleh

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh membidas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari agar tidak menjadikan rakyat Melaka sebagai bahan kempen politik dengan mengeluarkan kenyataan yang disifatkan berunsur fitnah dan bernada negatif.

Menurut Exco Kerajaan Negeri Melaka itu, kempen politik sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor tidak seharusnya dilakukan dengan memburukkan hubungan baik yang sekian lama terjalin antara rakyat Melaka dan Johor.

“Saya mahu mengingatkan kepada kekanda saya Adly Zahari. Kita kalau nak kempen, silakan tiada masalah, tetapi janganlah sampai memberi pandangan negatif dan memfitnah rakyat Melaka,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dr Muhamad Akmal berkata, sepanjang beliau membesar dan menetap di kawasan Sungai Rambai serta Merlimau, tidak pernah timbul sentimen kebencian terhadap rakyat Johor seperti yang cuba digambarkan pihak tertentu.

“Setahu saya sejak saya duduk di Sungai Rambai dan Merlimau tiada lagi rakyat Melaka yang tidak suka atas kehadiran rakyat negeri Johor.

“Malah kami juga selalu ke negeri Johor dan bekerja di kawasan Muar iaitu dalam negeri Johor,” katanya.

Dr Muhamad Akmal mengulas kenyataan Adly semalam yang mana ketika memegang jawatan Ketua Menteri Melaka, beliau mendapati bahawa penduduk Melaka tidak suka kepada penghijrahan penduduk selatan Johor ke kawasan itu.

“Saya ingat dulu semasa saya jadi Ketua Menteri, saya memang banyak luluskan projek pembangunan perumahan di Sungai Rambai. Sebab apa? Sebab pembelinya ramai orang dari Johor.

“Jadi kena tengok juga pembangunan di situ. Kerana kesannya, orang Melaka pun tak berapa suka. Memanglah suka sebab boleh jual rumah, boleh buat projek perumahan. Tapi mereka itu tak besar.

“Kalau orang Muar lama-lama duduk Melaka itu, terjajahlah Melaka itu,” katanya semalam.

Dalam pada itu, Dr Muhamad Akmal turut mengingatkan bahawa hubungan antara kedua-dua negeri bukan sahaja terjalin dari sudut sosial dan ekonomi, malah melibatkan aspek perkhidmatan kesihatan yang memberi manfaat kepada rakyat Melaka sendiri.

“Mungkin YB masa jadi Ketua Menteri tidak tahu atau buat-buat tidak tahu, hampir separuh rujukan pesakit dari klinik kesihatan di kawasan Serkam, Merlimau dan Sungai Rambai juga akan dirujuk ke Hospital Muar di dalam negeri Johor.

“Iya rakyat Melaka juga mendapat manfaat dari Hospital Muar di dalam negeri Johor dan kami tiada masalah mahupun perasaan tidak suka kepada rakyat negeri Johor,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Muhamad Akmal menegaskan kempen politik tidak seharusnya bertukar menjadi medan menyebarkan persepsi negatif yang boleh merosakkan hubungan baik antara rakyat kedua-dua negeri.

“Kempen tu kempenlah, janganlah sampai buat fitnah dan memburukkan rakyat negeri Melaka pula,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyindir pemimpin yang menurutnya gemar menabur pelbagai janji ketika pilihan raya tetapi gagal menunaikannya selepas memperoleh kuasa.

“Yang kami tidak suka adalah pemimpin yang membohong janji macam-macam tetapi bila dah menang janji itu hanya tinggal janji,” katanya. – MalaysiaGazette.

Rakyat Johor Utara Dah Melimpah Ke Melaka, Kesannya Rakyat Melaka Tak Suka – Adly

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast