JOHOR BAHRU – Kerajaan Persekutuan yang diterajui Perdana Menteri diseru supaya berhenti berdolak-dalik dan melemparkan tuduhan terhadap Johor.
Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, sudah tiba masanya Putrajaya menunaikan tanggungjawabnya menjaga rakyat Johor sebagai rakan kongsi pembangunan negara, bukan sebagai sumber kutipan hasil semata-mata.
“Saya ingin menjawab terus kenyataan Perdana Menteri yang sebelum ini menyifatkan Johor sebagai negeri kaya tetapi ‘banyak bocor’.
“Sebagaimana titah Pemangku Sultan Johor, ya memang banyak bocor, tetapi kepimpinan Persekutuan yang culas dan tidak adillah yang membocorkan Johor,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pemangku Sultan Johor menerusi Podcast Bual Santai Petang Pemangku Sultan Johor Bersama Orang Muda Johor, semalam, membalas kenyataan Perdana Menteri yang menyifatkan Johor sebagai sebuah negeri kaya namun berdepan pelbagai ketirisan.
Tunku Mahkota Ismail menegaskan, kerajaan Persekutuan merupakan punca hasil yang dijana negeri ini tidak dikembalikan secara adil.
“Sahabat saya, Perdana Menteri, baru-baru ini membuat satu kenyataan mengatakan Johor ini negeri kaya tetapi banyak bocor.
“Ya, memang banyak bocor. Kerajaan Persekutuan yang bocorkan Johor,” titah baginda.
Mengulas lanjut, Mohd Hairi yang juga Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin berkata, Johor ‘bocor’ kerana hasilnya disedut keluar dan tidak dikembalikan secara saksama.
“Inilah realiti apabila pemimpin yang hanya pandai berkata-kata, pandai menuding jari kepada negeri, tetapi gagal melaksanakan tanggungjawab asas terhadap rakyat Johor.
“Sedangkan keperluan paling asas pun, membaiki sekolah, menaik taraf hospital, membaik pulih jalan raya, terpaksa menunggu kelulusan dan belas kasihan Putrajaya,” katanya.
Titah baginda katanya, bukan sekadar suara seorang pemimpin, sebaliknya suara hati 4.9 juta rakyat Johor yang selama ini terpaksa menanggung ketidakadilan struktur perkongsian hasil Kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, hakikat jelas dan tidak boleh dinafikan adalah Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada kerajaan Persekutuan, namun hanya RM2 bilion hingga RM3 bilion dipulangkan untuk menampung keperluan hampir lima juta penduduknya.
“Angka ini tidak logik, tidak adil, dan menghina maruah rakyat Johor yang menjadi tulang belakang ekonomi negara,” dakwanya lagi.
Lebih malang katanya, projek kesihatan utama terbengkalai dan tertangguh seperti Hospital Pasir Gudang dan Hospital Sultanah Aminah 2 di sini.
“Saya ingin bertanya kepada Pakatan Harapan, siapa yang susah dalam keadaan ini? Bukan orang atasan, tetapi rakyat marhaen yang menanggung akibatnya.
“Berkenaan dakwaan overclaim terhadap projek-projek besar di Johor, tidak perlulah menunjukkan siapa yang bawa atau siapa yang laksanakan, sebagai Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, sememangnya tugas kita adalah untuk melaksanakan perkara yang memberi limpahan manfaat buat rakyat, tidak kira parti mana yang memerintah,” katanya. – MalaysiaGazette
















