Presiden MCW, Jais Abdul Karim

KUALA LUMPUR – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyambut baik pekeliling terbaharu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang memperincikan garis panduan pemilikan aset, termasuk saham, sekuriti dan aset digital dalam kalangan penjawat awam.

Presidennya, Jais Abdul Karim berpandangan pekeliling itu merupakan langkah positif kerana ia mengimbangi hak penjawat awam untuk membuat pelaburan yang sah dengan keperluan menjaga integriti serta mengelakkan konflik kepentingan.

Menurutnya, penetapan had pemilikan dan keperluan mendapatkan kelulusan bagi pegangan yang melebihi had tertentu mampu meningkatkan akauntabiliti dan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam.

Ujarnya, dalam era ekonomi digital, pengiktirafan terhadap aset digital yang didagangkan melalui platform berlesen juga menunjukkan kesediaan kerajaan menyesuaikan peraturan dengan perkembangan semasa.

Namun, tambah beliau, aspek pemantauan dan pengisytiharan aset perlu diperkukuh bagi memastikan sumber pendapatan adalah sah serta tidak melibatkan penyalahgunaan kedudukan.

“Bagi MCW, isu utama bukanlah berapa banyak aset yang dimiliki oleh seseorang penjawat awam tetapi bagaimana aset tersebut diperoleh.

“Integriti, ketelusan dan pengisytiharan yang jujur mesti menjadi asas kepada setiap bentuk pemilikan,” katanya dalam satu kenyaatan.

Tambah Jais, MCW percaya pekeliling itu mampu memperkukuh budaya integriti serta membantu membina sebuah perkhidmatan awam yang lebih berwibawa, profesional dan diyakini rakyat.

“Penjawat awam berhak menjadi kaya tetapi kekayaan itu mestilah diperoleh secara sah, telus dan berintegriti,” katanya.

Dalam satu pekeliling bertarikh 16 Jun lalu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, mengeluarkan arahan baharu mengenai pengisytiharan harta bagi penjawat awam termasuk semakan semula had pemilikan saham dalam syarikat serta mekanisme kelulusan yang perlu dipatuhi. – MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast