MANILA – Sekurang-kurangnya tiga pelajar terbunuh dan lima lagi cedera dalam kejadian tembak-menembak luar biasa di sekolah yang terletak di tengah negara ini.
Dua penembak, masing-masing berusia 15 dan 14 tahun telah melepaskan tembakan secara rambang di dalam kawasan sekolah, kata Leftenan Polis, Evalyn Diaz.
Kejadian berlaku kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan di Sekolah Tinggi San Jose di Bandar Tacloban, wilayah Leyte.
Satu rakaman video yang tular di media tempatan dan disahkan oleh AFP memaparkan suasana panik apabila pelajar menjerit serta menangis sambil berlindung di dalam bilik darjah ketika bunyi tembakan kedengaran.
Menurut Diaz, siasatan awal mendapati motif kejadian dipercayai berkaitan kes buli, namun polis masih menjalankan soal siasat lanjut terhadap kedua-dua suspek.
“Kami menerima maklumat bahawa buli mungkin menjadi punca tindakan mereka, tetapi perkara itu masih belum dapat disahkan,” katanya.
Polis turut menyiasat bagaimana kedua-dua remaja berkenaan memperoleh senjata api dan berjaya membawanya masuk ke kawasan sekolah.
“Kami juga masih meneliti kronologi sebenar kejadian. Kedua-dua suspek kini berada di balai polis untuk disoal siasat dengan kehadiran ibu bapa mereka kerana mereka masih di bawah umur,” katanya.
Setakat ini, tiada maklumat terkini mengenai keadaan lima pelajar yang cedera, namun polis memaklumkan semua mangsa telah dikejarkan ke hospital berhampiran untuk menerima rawatan.
Kementerian Pendidikan Filipina dalam satu kenyataan menyifatkan insiden itu sebagai situasi berisiko tinggi dan memaklumkan pegawai di peringkat pusat, wilayah serta daerah sedang bekerjasama rapat dengan pihak sekolah dan penguat kuasa bagi memastikan keselamatan kawasan berkenaan.
Insiden tembakan di sekolah jarang berlaku di Filipina, walaupun keganasan bersenjata yang disasarkan terhadap individu tertentu sering dikaitkan dengan politik tempatan di beberapa wilayah.
Pada 2022, tiga individu termasuk bekas datuk bandar terbunuh dalam satu kejadian tembakan sebelum majlis graduasi di Universiti Ateneo de Manila di ibu negara, yang kemudiannya dikenal pasti sebagai pembunuhan bermotifkan dendam peribadi.
Pemilikan senjata api secara sah di Filipina dikawal ketat, namun negara itu masih bedpan masalah pasaran gelap senjata yang aktif. – Agensi
















