Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bergambar selepas sidang media berkenaan Baucar Kita Selangor di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 22 JUN 2026.

SHAH ALAM – Pendaftaran Baucar Kita Selangor kepada 50,000 keluarga yang layak akan mula dibuka pada jam 12 tengah hari esok.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, proses permohonan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian menerusi portal rasmi www.baucarkitaselangor.com bagi memudahkan urusan penerima.

“Dengan peruntukan sebanyak RM30 juta, Baucar Kita Selangor akan menyalurkan RM100 sebulan selama enam bulan kepada 50,000 keluarga agar sebarang risiko peningkatan harga barangan tidak memberi impak negatif kepada kehidupan rakyat.

“Kita juga memberikan ruang khas kepada ibu tunggal yang terpaksa bekerja sambil menyara anak, dengan pendapatan isi rumah RM5,000 dan ke bawah untuk turut memohon bantuan ini,” katanya pada sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.

Jelas Amirudin, kumpulan sasaran dikenal pasti berdasarkan data pemohon yang belum menerima bantuan sedia ada seperti Program Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (BINGKAS), selaras dengan pangkalan data agensi kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Selangor.

Terdahulu, beliau berkata, ketirisan biasanya berlaku apabila pendaftaran dibuat secara manual, berbeza dengan sistem dalam talian yang dilaksanakan secara automatik dan disertakan proses verifikasi sebelum bantuan disalurkan terus ke akaun e-dompet penerima.

“Kita akan memantau penggunaan secara berkala dan membatalkan penyertaan sekiranya bantuan tersebut tidak digunakan oleh penerima kerana kita menganggap mereka mungkin tidak lagi memerlukan sokongan berkenaan,” tegasnya.

“Selain itu, penyaluran dana menerusi akaun e-dompet membolehkan kerajaan memantau corak perbelanjaan dengan lebih berkesan berbanding kaedah tunai,” katanya lagi.

Sebagai rekod, Baucar Kita Selangor dilancarkan bagi melindungi rakyat daripada kesan krisis bekalan global susulan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang dibentangkan dalam Dewan Negeri Selangor pada Jumaat lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast