Ahli Dewan Negeri Permatang, Nurul Syazwani Noh bercakap pada Mesyuarat Khas Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 22 JUN 2026.

SHAH ALAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang menyuarakan kebimbangan terhadap keberkesanan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor yang diumumkan kerajaan negeri baru-baru ini untuk membantu rakyat berdepan dengan krisis global.

ADUN Permatang ((Perikatan Nasional), Nurul Syazwani Noh berkata, pakej yang melibatkan peruntukan sebanyak RM355.06 juta itu perlu berbaloi untuk membantu rakyat dan bukan hanya untuk jangka masa pendek.

“Jumlah pakej ini bukan kecil. Namun, persoalan yang lebih besar ialah sama ada pakej ini benar-benar membina daya tahan rakyat atau sekadar membantu mereka bertahan selama beberapa bulan sahaja.

“Daya tahan sebenar bukan sekadar kemampuan berdepan krisis hari ini, tetapi keupayaan untuk terus berdiri teguh apabila krisis seterusnya melanda,” katanya ketika membahaskan Pakej Pengukuhan Daya Tahan Selangor pada Sidang Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berlangsung hari ini hingga esok.

Selangor telah mengumumkan peruntukan sebanyak RM355.06 juta dalam Pakej Daya Tahan Selangor bagi menampan kesan akibat kejutan rantaian bahan api yang memberi kesan kepada bekalan global susulan penutupan Selat Hormuz.

Pakej tersebut melibatkan dua fasa masing-masing berjumlah RM145.8 dan RM209.26 juta yang diperuntukkan bagi pelbagai sektor termasuk bekalan makanan, pertanian, pengangkutan awam, perumahan, pendidikan, perkhidmatan, keusahawanan dan sebagainya.

Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya Kerajaan Negeri Selangor menggunakan satu aplikasi tunggal bagi menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Menurutnya, selain berisiko melibatkan kos pembangunan sistem yang tinggi, penggunaan pelbagai aplikasi hanya akan mengelirukan rakyat.

“Apakah justifikasi kerajaan negeri menggunakan dua platform berbeza untuk menyalurkan bantuan yang datang daripada kerajaan yang sama? Jika rakyat perlu mengingati atau menggunakan pelbagai aplikasi untuk mendapatkan bantuan, maka ini bukan lagi konsep Smart State, sebaliknya saya bimbang ia akan menjadi ‘Smart Confusion’.

“Sebab itu saya mencadangkan supaya Selangor menjadi negeri pertama yang benar-benar melaksanakan konsep single window government service, iaitu satu identiti, satu aplikasi dan satu akaun untuk semua rakyat. Langkah ini bukan sahaja memudahkan rakyat, malah membantu kerajaan dalam pengurusan sistem,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mempersoalkan kewujudan dua aplikasi bantuan Selangor iaitu Selangkah dan Nine (9).

Selangkah berfungsi sebagai aplikasi sehenti yang menyediakan pelbagai perkhidmatan kesihatan awam dan kebajikan di Selangor.

Sementara itu, Nine merupakan aplikasi yang mengintegrasikan pelbagai perkhidmatan kerajaan negeri termasuk sokongan dompet digital.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast