KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) mempersoalkan rasional dan objektif dasar pengasingan sisa halal dan tidak halal yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Chai Ko Ting berkata, mana-mana dasar awam yang melibatkan pihak berkuasa tempatan, sektor perniagaan dan orang ramai perlu disertakan dengan penjelasan yang jelas mengenai tujuan, keperluan serta manfaat yang ingin dicapai melalui pelaksanaannya.
Dalam isu dasar itu, ujar beliau, persoalan utama yang perlu dijawab oleh kerajaan negeri bukanlah berkaitan soal agama, sebaliknya berkaitan rasional dan objektif dasar tersebut.
“Rakyat berhak mengetahui apakah masalah sebenar yang ingin diselesaikan melalui pengasingan sisa halal dan tidak halal.
“Mengapakah dasar sedemikian dianggap perlu pada zaman ini?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, Kerajaan Negeri Selangor perlu menjelaskan sama ada garis panduan itu mampu memberikan manfaat yang nyata kepada sistem pengurusan sisa pepejal dan alam sekitar, atau sekadar menambah lapisan birokrasi baharu yang boleh menimbulkan lebih banyak kekeliruan dalam pelaksanaannya.
Pada masa sama, ujarnya, kerajaan negeri juga perlu menjelaskan implikasi kewangan yang bakal timbul sekiranya dasar itu dilaksanakan.
Katanya, antara persoalan yang perlu dijawab ialah kos pelaksanaan, pihak yang akan menanggung kos tambahan tersebut serta keperluan untuk menyediakan infrastruktur, peralatan atau tenaga kerja tambahan bagi memastikan pematuhan terhadap garis panduan berkenaan.
“Persoalannya bagaimanakah dasar ini akan memberi kesan kepada pihak berkuasa tempatan, pengusaha premis makanan, peniaga kecil, syarikat pengurusan sisa serta penduduk secara keseluruhannya?
“Sebarang dasar baharu perlu mengambil kira kesan terhadap operasi harian dan beban kos yang mungkin ditanggung oleh pihak-pihak berkepentingan,” katanya.
Lebih penting, tambah beliau, kerajaan negeri perlu menunjukkan bahawa dasar yang dicadangkan mampu menghasilkan manfaat yang boleh diukur.
Tambahnya, keutamaan seharusnya diberikan kepada dasar yang mampu meningkatkan kecekapan pengurusan sisa serta memberikan impak yang jelas kepada rakyat.
Ujarnya, Gerakan percaya bahawa tadbir urus yang baik memerlukan setiap dasar awam digubal berdasarkan keperluan sebenar, data yang jelas dan hasil yang boleh diukur.
“Dasar yang baik bukan sahaja mempunyai niat yang baik, tetapi juga mampu memberikan manfaat yang nyata kepada rakyat tanpa mewujudkan kekeliruan atau kos tambahan yang tidak diperlukan,” katanya.
Sebelum ini, Exco Kerajaan Tempatan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, kerajaan negeri akan mengkaji semula kaedah pelaksanaan pengasingan sisa halal dan tidak halal supaya lebih relevan dengan keadaan semasa.
Menurutnya, kerajaan negeri mengambil maklum pelbagai pandangan dibangkitkan berhubung peruntukan pengasingan sisa halal dan tidak halal yang terkandung dalam Garis Panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor 2025. – MalaysiaGazette
















