Foto tular berhubung empat warga asing semasa Hari Terbuka TUDM di Kuantan, semalam.

KUALA LUMPUR – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan berkenaan gambar tular di media sosial memaparkan empat warga asing yang sedang diperiksa oleh anggota Pasukan Keselamatan semasa Hari Terbuka TUDM di Pangkalan Udara Kuantan, semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, TUDM menjelaskan, pemeriksaan dilakukan selepas pasukan yang melaksanakan rondaan keselamatan mendapati empat warga asing terbabit menghampiri had kawasan yang dikhususkan untuk pengunjung awam.

Bagaimanapun katanya, hasil pemeriksaan mendapati tiada sebarang unsur yang boleh menjejaskan keselamatan atau integriti pangkalan.

Pemeriksaan ke atas peralatan kamera serta telefon bimbit mereka juga tidak menemukan sebarang bahan yang mencurigakan.

“TUDM menegaskan bahawa pemeriksaan keselamatan secara rawak merupakan prosedur operasi standard yang dilaksanakan sepanjang program melibatkan kehadiran orang awam.

“TUDM akan terus memastikan keselamatan aset strategik, warga pangkalan dan pengunjung sentiasa terpelihara,” kata kenyataan, tersebut.

Terdahulu, tular di media sosial menunjukkan beberapa orang lelaki dipercayai warga China sedang diperiksa di kawasan larangan semasa Hari Terbuka TUDM 2026 yang berlangsung dua hari bermula Sabtu lalu.

Acara itu mencuri tumpuan apabila pesawat tempur Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet yang menjadi simbol keupayaan tempur TUDM dipamerkan, selain pesawat pengangkut A400M, C-130H dan CN235 serta helikopter EC725AP/H225M, AW139 dan EC120B. -Malaysiagazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast