Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, Datuk Seri Azalina Othman Said pada sidang media di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya hari ini mengesyorkan pelantikan pendakwa raya dibuat tanpa sebarang penglibatan Perdana Menteri atau Jemaah Menteri.

Pengerusinya, Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, cadangan itu terkandung dalam Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini.

“Cadangan ini sekali gus dilihat sebagai antara langkah paling signifikan dalam usaha memperkukuh kebebasan institusi pendakwaan dan mengurangkan pengaruh eksekutif terhadap sistem keadilan negara,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, di sini, hari ini.

Azalina selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) berkata, jawatankuasa itu mengesyorkan supaya Pendakwa Raya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).

“Mekanisme baharu itu menandakan peralihan penting daripada model sedia ada dengan memastikan proses pelantikan kekal berasaskan institusi dan bebas daripada campur tangan politik.

“Malah, jawatankuasa turut mengesyorkan supaya hanya calon yang diperakukan oleh SPKP boleh dipertimbangkan untuk pelantikan sebagai Pendakwa Raya,” katanya.

Selain itu, jelasnya, proses pelantikan menjadi lebih telus melalui penglibatan Parlimen dan ahli Parlimen boleh memberi pandangan kepada SPKP sebelum pelantikan dibuat.

“Langkah berkenaan dilihat sebagai usaha memperkukuh mekanisme semak dan imbang dalam sistem demokrasi negara, selain meningkatkan keyakinan awam terhadap kebebasan institusi pendakwaan,” katanya.

Beliau berkata, cadangan pelantikan bebas itu antara syor utama hasil penelitian jawatankuasa yang ditubuhkan selepas Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 berkaitan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya dibentangkan untuk Bacaan Kali Pertama pada 23 Februari lalu.

“Sepanjang proses penelitian, jawatankuasa yang dianggotai Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang telah mengadakan tujuh mesyuarat serta mendapatkan pandangan daripada Jabatan Peguam Negara, badan profesional, ahli akademik, pakar perundangan dan organisasi masyarakat sivil,” katanya.

Azalina menjelaskan, jawatankuasa turut mengesyorkan Pendakwa Raya diberikan tempoh jawatan tetap selama tujuh tahun tanpa pembaharuan atau pelantikan semula bagi menjamin kebebasan institusi daripada sebarang tekanan luar.

“Bagi meningkatkan akauntabiliti, Pendakwa Raya juga dicadang diwajibkan mengemukakan laporan tahunan kepada Parlimen, manakala satu Kod Etika khusus akan diwujudkan dengan pelanggarannya boleh dijadikan alasan untuk penyingkiran daripada jawatan.

“Parlimen juga dicadang diberi kuasa menggubal undang-undang lanjut berkaitan pelantikan, penyingkiran serta tanggungjawab pelaporan Pendakwa Raya bagi memastikan reformasi dapat terus diperkukuh mengikut keperluan semasa,” katanya.

Katanya lagi, keseluruhan syor yang dikemukakan bertujuan mewujudkan institusi Pendakwa Raya yang bebas, profesional dan bertanggungjawab selaras dengan prinsip kedaulatan undang-undang serta amalan terbaik antarabangsa.

“laporan yang dibentangkan hari ini akan menjadi asas kepada perbahasan dan pertimbangan lanjut Dewan Rakyat dalam menentukan bentuk akhir reformasi yang disifatkan sebagai antara pembaharuan institusi paling penting sejak kemerdekaan.

“Matlamat utama reformasi ini adalah untuk memastikan institusi pendakwaan negara berfungsi secara bebas, telus dan diyakini rakyat,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast