Seorang wanita tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur untuk didakwa melakukan pecah amanah iaitu mengambil terminal touch N Go dan tebus dalam TouchN'Go Ewallet miliknya dan ahli keluarganya bernilai lebih RM400,000, di Mahkamah Sesyen. 18 SEPTEMBER 2025. (GAMBAR FAIL)

KUALA LUMPUR – Seorang bekas juruwang pasar raya dipenjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas kesalahan pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan mesin terminal pin Touch ‘n Go eWallet berjumlah lebih RM500,000.

Nur Atiqah Asyirah Muhamad Fauzi, 29, dijatuhi hukuman itu selepas menukar pengakuan kepada bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah dan 12 pengubahan wang haram (AMLA).

Hakim Norma Ismail menjatuhkan hukuman penjara dua tahun bagi setiap pertuduhan pecah amanah dan AMLA. Hukuman berkuatkuasa serentak bermula hari ini.

Mengikut dua pertuduhan, wanita itu menyalahgunakan mesin terminal pin sebuah pasar raya dengan mengeluarkan nilai pin Touch ‘n Go eWallet berjumlah RM98,800 untuk ditebus nilai ke akaun Touch ‘n Go eWallet milik diri sendiri, antara 7 Januari 2023 dan 9 Julai 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 14 tahun, sebatan dan denda, jika sabit kesalahan.

Wanita itu juga didakwa atas 12 pertuduhan memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM469,400 ke Touch ‘n Go eWallet milik tertuduh, ahli keluarga dan rakan-rakannya.

Kesalahan dibuat dengan menebus nilai pin Touch ‘n Go, iaitu tertuduh menggunakan terminal pin yang diamanahkan kepadanya oleh pasar raya terbabit untuk mengeluarkan pin-pin Touch ‘n Go eWallet, antara Januari 2023 dan Ogos 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Akta Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Mengikut fakta kes, pengurus pasar raya itu membuat laporan polis selepas mengesyaki tertuduh mengambil sebuah mesin peranti terminal e-pay tanpa kebenaran pasar raya itu.

Hasil semakan rekod e-pay kemudian mendapati tertuduh telah menggunakan mesin peranti terminal tersebut bagi menambah nilai e-wallet Touch ‘n Go sejak Ogos 2022 hingga Julai 2024 untuk kegunaan peribadi.

Semasa prosiding, peguam Arik Zakri Abdul Kadir yang mewakili Nur Atiqah memohon hukuman ringan dengan alasan anak guamnya telah mengaku bersalah sekali gus menjimatkan masa mahkamah dan semua pihak.

Menurutnya, tertuduh merupakan pesalah kali pertama dan mengambil tanggungjawab untuk mengaku salah, selain hilang pekerjaan dan mengalami kemurungan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Batrisya Mohd Khusri memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana perbuatan tertuduh menyebabkan kerugian kepada syarikat serta dilakukan secara terancang dalam tempoh yang panjang.

Ujarnya, transaksi dilakukan bukan secara sekali gus, sebaliknya selama dua tahun. Perbuatan tertuduh bukan satu kesilapan sesaat tetapi satu siri pengkhianatan amanah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast