KUALA LUMPUR – Kerusi Parlimen Pandan dan Setiawangsa kini rasmi kosong selepas penyandang kedua-dua kerusi itu mengemukakan surat pelepasan keahlian sebagai Ahli Dewan Rakyat kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.
Johari berkata, beliau menerima surat perletakan jawatan daripada Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad pada 18 Mei 2026.
Menurut beliau, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah dimaklumkan mengenai perkara itu selaras dengan peruntukan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan.
“Yang Berhormat bagi Kawasan Pandan dan Setiawangsa telah menghantar surat untuk melepaskan keahlian sebagai Ahli Dewan Rakyat kepada saya pada 18 Mei 2026.
“Saya telah memaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai kekosongan kedua-dua kerusi Ahli Parlimen berkenaan selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan,” katanya pada pembukaan sidang Parlimen, hari ini.
Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan apabila berlaku kekosongan luar jangka bagi sesuatu kerusi Dewan Rakyat, kekosongan tersebut hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh SPR menerima notis rasmi mengenainya, tertakluk kepada syarat dan pengecualian tertentu yang diperuntukkan undang-undang.
Perkembangan itu membuka laluan kepada SPR untuk meneliti dan menentukan langkah seterusnya termasuk menetapkan tarikh penting bagi proses pilihan raya kecil (PRK) sekiranya memenuhi syarat yang ditetapkan.
Kekosongan serentak dua kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan itu dijangka menarik perhatian pelbagai pihak memandangkan kedua-dua kawasan berkenaan merupakan antara kerusi bandar yang mempunyai kepadatan pengundi tinggi serta signifikan dalam landskap politik negara. – MalaysiaGazette
















