Mukkesh.

GEORGE TOWN – Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat menyifatkan pandangan yang dizahirkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail berhubung agihan hasil negeri dan hubungan antara Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri sebagai perkara yang wajar diberi perhatian secara konstruktif demi kepentingan rakyat.

Naib Pengerusinya, G. Mukkesh berkata, pandangan yang disuarakan itu mencerminkan keprihatinan terhadap aspek pembangunan, kebajikan rakyat serta keperluan memastikan setiap peringkat pentadbiran dapat melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan.

Menurut beliau, isu yang dibangkitkan berkaitan pengagihan hasil dan pembangunan negeri sewajarnya dilihat dalam konteks yang lebih luas bagi memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai rakyat secara menyeluruh.

“Kami berpandangan bahawa setiap pandangan yang dikemukakan perlu dinilai secara matang dan terbuka, khususnya apabila ia menyentuh soal kesejahteraan rakyat, pembangunan negeri serta keberkesanan sistem pentadbiran negara.

“Perkara yang dibangkitkan juga boleh dijadikan asas kepada perbincangan yang lebih konstruktif antara semua pihak berkepentingan bagi mencari penyelesaian terbaik demi kepentingan rakyat dan negara,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Mukkesh berkata, institusi diraja mempunyai peranan penting sebagai simbol perpaduan, kestabilan dan kesinambungan negara dalam sistem Raja Berperlembagaan yang diamalkan di Malaysia.

Sehubungan itu, beliau berkata, pandangan serta nasihat yang dizahirkan oleh institusi berkenaan wajar dihormati dan dijadikan antara input dalam memperkukuh hubungan antara rakyat, kerajaan dan institusi diraja.

Pada masa sama, beliau menyeru semua pihak supaya mengelakkan polemik berlebihan yang boleh mencetuskan perpecahan, sebaliknya mengutamakan pendekatan dialog dan saling menghormati dalam membincangkan isu-isu yang melibatkan kepentingan negara.

“Kita berharap setiap pihak dapat mengamalkan budaya perbincangan yang matang serta bekerjasama mencari penyelesaian terhadap cabaran yang dihadapi rakyat dan negara.

“Apa juga pandangan yang dikemukakan harus dilihat dengan matlamat untuk memperkukuh kesejahteraan rakyat, pembangunan negara serta keharmonian masyarakat,” katanya.

Media semalam melaporkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bertitah agar Kerajaan Persekutuan mengembalikan sebahagian hasil yang dijana negeri itu kepada Kerajaan Johor, bagi memastikan kebajikan rakyat dapat diperkukuh.

Baginda bertitah, Johor menyumbang lebih RM40 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan namun hanya sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion dikembalikan untuk menampung keperluan hampir lima juta rakyat negeri tersebut.

Apabila kita memberi hasil negeri kita lebih RM40 bilion setahun dan dipulangkan hanya RM2 bilion hingga RM3 bilion untuk menjaga 4.9 juta rakyat Johor, bagaimana? Benda itu tidak logik,” titah baginda.

Tunku Mahkota Ismail bertitah demikian semasa sesi Podcast Bual Santai Petang bersama Orang Muda Johor pada Sabtu, sebagai mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sebelum ini dilapor menyifatkan Johor sebagai negeri kaya tetapi berdepan masalah ‘kebocoran’. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast