Syed Badli Shah Syed Othman
Syed Badli Shah Syed Osman.

KUALA LUMPUR – Penurunan harga diesel kepada RM2.10 seliter serta pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar menerusi program Budi Madani yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini menunjukkan kesediaan kerajaan mendengar pandangan dan desakan daripada akar umbi parti.

Ketua Cabang PKR Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, pihaknya menyambut baik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perkara itu yang membuktikan Kerajaan Madani sentiasa prihatin terhadap keluhan rakyat.

“Ia menunjukkan kesediaan kerajaan mendengar pandangan dan desakan daripada akar umbi parti.

“Pelaksanaan ini memberikan isyarat jelas bahawa PKR sentiasa cakna dalam memperjuangkan nasib rakyat, manakala Kerajaan Madani pula komited untuk memastikan bantuan disalurkan secara lebih bersasar dan berkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Syed Badli Shah berkata, Cabang Titiwangsa sebelum ini telah mengemukakan tiga usul berkaitan diesel menerusi Mesyuarat Agung Tahunan Cabang yang berlangsung pada 12 April lalu.

Katanya, usul berkenaan melibatkan penstrukturan semula bantuan diesel, memperkenalkan kaedah subsidi bersasar serta menurunkan kadar cukai jalan bagi pengguna diesel.

“Kesediaan Perdana Menteri untuk mempertimbangkan dan seterusnya melaksanakan cadangan yang dikemukakan menunjukkan beliau amat prihatin terhadap keluh kesah rakyat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap rakyat terus memberikan kepercayaan kepada Kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerajui pentadbiran negara dan meneruskan agenda reformasi demi kesejahteraan rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast