KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau menghadap Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail, di Kuala Lumpur, hari ini.
Katanya, pertemuan tersebut memberi ruang yang baik untuk bertukar pandangan dan membincangkan pelbagai perkara membabitkan kebajikan serta kesejahteraan rakyat khususunya di negeri Johor.
“Kami turut membincangkan perkembangan semasa dan perancangan berterusan Kerajaan MADANI dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri.
“Tunku Mahkota Ismail dan saya juga sepakat untuk terus mengekalkan hubungan yang baik, selain mengukuhkan kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan, hari ini. -MalaysiaGazette
















