KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan takziah atas pemergian bekas Presiden Timor-Leste, Francisco Guterres.
Menyifatkan Guterres sebagai tokoh penting dalam perjuangan kemerdekaan negara tersebut, Anwar berkata, bekas Presiden Guterres adalah sebahagian daripada generasi yang membawa Timor-Leste ke arah kemerdekaan.
Guterres melalui tempoh panjang dalam gerakan penentangan, dikenali sebagai Lú-Olo, sebelum berkhidmat sebagai Presiden Parlimen Nasional dan Ketua Negara.
“Bagi pihak Malaysia, saya merakamkan ucapan takziah kepada keluarganya dan kepada rakyat Timor-Leste. Beliau akan dikenang dengan penuh penghormatan dan kasih sayang,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Anwar berkata, sepanjang hayatnya, Guterres kekal komited terhadap perjuangan kebebasan rakyat Timor-Leste serta pembangunan negara demokrasi.
Guterres, 71, merupakan Presiden Timor-Leste dari 2017 hingga 2022 dilaporkan meninggal dunia selepas menerima rawatan intensif. – MalaysiaGazette
















