KUALA LUMPUR – Sebanyak 76 saman dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam Op Motosikal yang dijalankan di Jalan Jurutera, Kampung Seri Aman di Puchong, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, sepanjang operasi, seramai 85 individu dan 53 buah motosikal diperiksa.
“Operasi yang bermula kira-kira jam 5.30 petang itu dijalankan bagi mengesan serta mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melakukan pelbagai kesalahan trafik serta aktiviti yang boleh membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
“Hasil pemeriksaan mendapati, antara kesalahan utama dikesan ialah tidak memakai topi keledar, tiada lesen memandu serta motosikal diubah suai.
“Dalam operasi sama, sebanyak tujuh motosikal turut disita untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tegas beliau, pihaknya memandang serius aktiviti samseng jalanan dan lumba haram kerana perbuatan itu bukan sahaja melanggar undang-undang, malah berisiko mengakibatkan kemalangan serta kehilangan nyawa.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti lumba haram atau samseng jalanan diminta menyalurkan maklumat kepada mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi IPD Subang Jaya di talian 03-7862 7222. – MalaysiaGazette















