KUALA LUMPUR – Parti Bersama Malaysia (Bersama) mengesahkan akan bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 dengan senarai calon dijadual diumumkan pada Jumaat ini.
Pengumuman itu dibuat menerusi kenyataan bersama yang ditandatangani Presiden Bersama, Datuk Seri Rafizi Ramli dan timbalannya, Nik Nazmi Nik Ahmad hari ini.
Menurut mereka, pemilihan 15 kerusi berkenaan dibuat selepas mengambil kira beberapa faktor termasuk corak dan kecenderungan pengundi berdasarkan kajian lapangan yang dijalankan sejak enam bulan lalu, tahap penerimaan rakyat terhadap Bersama, kesesuaian calon serta kemampuan parti menguruskan kempen secara berkesan.
“Calon-calon Bersama akan diumumkan pada hari Jumaat ini jam 8 malam di Johor Bahru bersempena dengan pelancaran trak kancil. Tempat pelancaran akan diumumkan kelak,” kata Rafizi dalam satu kenyataan.
Kerusi yang bakal ditandingi Bersama ialah DUN Bukit Naning (N14); Mahkota (N29); Tiram (N40); Puteri Wangsa (N41); Johor Jaya (N42); Permas (N43); Larkin (N44); Stulang (N45); Perling (N46); Kempas (N47); Skudai (N48); Kota Iskandar (N49); Bukit Permai (N50); Bukit Batu (N51) dan Senai (N52).
Daripada jumlah itu, tujuh kerusi kini disandang UMNO, lima oleh DAP, masing-masing satu oleh PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Pemilihan kawasan itu sekali gus memperlihatkan Bersama memilih untuk menguji kekuatannya di kawasan yang dikuasai parti-parti kerajaan.
Dalam pada itu, Bersama turut mengumumkan pembukaan sistem pendaftaran ejen tempat mengundi dan ejen pengiraan undi (PACA) manakala sistem kempen bersepadu parti itu akan mula beroperasi esok.
Sistem berkenaan membolehkan ahli serta sukarelawan dari seluruh negara memilih sendiri bentuk kempen yang ingin disertai berdasarkan lokasi, masa dan jenis aktiviti yang ditawarkan.
“Bersama berhasrat untuk merintis kempen pilihan raya moden yang tidak memerlukan perbelanjaan yang besar dengan mengaktifkan seberapa ramai ahlinya dan orang ramai dari seluruh Malaysia membantu kempen Bersama di 15 kerusi ini secara sukarela,” menurut kenyataan itu.
Rafizi dan Nik Nazmi menegaskan, PRN Johor 2026 bukan sekadar pertandingan merebut kerusi politik sebaliknya medan memperkenalkan pendekatan politik baharu yang lebih tertumpu kepada penyelesaian masalah rakyat serta pembinaan masa depan negara.
“Bagi Bersama, PRN Johor 2026 bukan sahaja medan berebut kerusi dan pangkat untuk orang-orang politik. Ia peluang untuk merintis budaya politik yang lebih berfokus kepada penyelesaian masalah rakyat dan masa depan negara dan rakyat,” kata kenyataan itu. – MalaysiaGazette
















