Menteri Digital yang juga Ahli Parlimen Damansara, Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memperkenalkan pendekatan perundangan lebih menyeluruh bagi menangani risiko penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) termasuk penghasilan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak berbentuk deepfake, penyamaran identiti serta penyebaran kandungan intim tanpa persetujuan.

Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, aspek perlakuan jenayah, penyiasatan, penguatkuasaan dan pendakwaan berkaitan penyalahgunaan AI.

“Ia akan ditangani secara lebih jelas menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber 2026 yang dijadual dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini,” katanya pada sesi jawapan Menteri pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Terdahulu Wong Shu Qi (Kluang-PH) meminta penjelasan sama ada RUU Tadbir Urus Kecerdasan Buatan (AI) yang sedang digubal akan secara khusus menangani penyalahgunaan AI melibatkan kandungan deepfake, penyamaran identiti dan penyebaran kandungan intim tanpa persetujuan.

Gobind juga berkata, RUU Tadbir Urus AI tidak hanya tertumpu kepada kandungan yang dihasilkan oleh teknologi tersebut, sebaliknya dirangka untuk menangani risiko secara sistemik merangkumi keseluruhan kitar hayat sistem AI.

“Pendekatan ini membolehkan ancaman seperti deepfake dan kandungan sintetik dikawal dari peringkat awal melalui penetapan tadbir urus data, ketelusan, penilaian risiko serta akauntabiliti pihak yang membangunkan dan melaksanakan sistem AI,” katanya.

Jelas Gobind, pendekatan itu akan memperkukuhkan tanggungjawab pembangun dan pengguna sistem AI supaya langkah-langkah tadbir urus yang bersesuaian dilaksanakan.

“Ia bagi mengurangkan risiko penyalahgunaan teknologi berkenaan sebelum ia digunakan secara meluas atau mendatangkan kemudaratan kepada masyarakat,” katanya.

Selain itu, tegasnya, sebarang penyalahgunaan AI yang menghasilkan kandungan atau perlakuan menyalahi undang-undang tetap tertakluk kepada tindakan penguatkuasaan di bawah undang-undang sedia ada.

“Bagi kes yang melibatkan bahan eksploitasi seksual kanak-kanak, tindakan boleh diambil di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017, termasuk terhadap individu yang menghasilkan, mengedar, menyediakan, mengakses atau memiliki bahan sedemikian,” katanya.

Katanya, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 turut menyediakan mekanisme untuk menangani penyebaran kandungan memudarat, menyalahi undang-undang atau disalahguna melalui platform dalam talian, termasuk kandungan dijana atau dimanipulasi menggunakan AI.

“Kerajaan mengamalkan pendekatan dua lapis dalam menangani cabaran teknologi AI. Pendekatan pertama ialah menggunakan undang-undang sedia ada untuk mendakwa pihak yang menyalahgunakan kandungan.

“Pendekatan kedua ialah menggubal RUU Tadbir Urus AI bagi memperkukuhkan pencegahan serta akauntabiliti sepanjang kitar hayat pembangunan dan penggunaan AI.

“Langkah ini memastikan risiko teknologi berkeupayaan tinggi seperti deepfake, kandungan sintetik dan manipulasi identiti dapat dikawal lebih awal sebelum memberi kesan buruk kepada masyarakat,” katanya.

Beliau turut menegaskan kerajaan komited memastikan pembangunan dan penggunaan AI di Malaysia dilaksanakan secara selamat, beretika dan bertanggungjawab.

“Langkah proaktif ini penting bagi memacu pemanfaatan AI secara bertanggungjawab tanpa mengkompromi keselamatan awam, kepentingan negara serta perlindungan menyeluruh terhadap hak mangsa, maruah individu dan kanak-kanak,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast