Logo PKR. Foto MOHD ADZLAN, 22 MEI 2025.

JOHOR BHARU – Menjelang pengumuman senarai calon Pakatan Harapan (PH) oleh Pengerusinya merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Tangkak malam ini, sumber tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR) mendedahkan berlaku beberapa pertukaran nama pada saat-saat akhir.

MalaysiaGazette difahamkan oleh sumber itu, keputusan tersebut dilakukan oleh ‘tangan-tangan ghaib’ di peringkat pusat.

Ini sekali gus mencetuskan rasa tidak puas hati dalam kalangan pimpinan dan jentera akar umbi apabila beberapa nama calon tempatan yang telah lama bekerja di kawasan masing-masing didakwa digugurkan pada saat akhir.

Menurut sumber itu, sebahagian besar keputusan berkenaan dibuat tanpa mengambil kira pandangan pimpinan di peringkat negeri.

“Banyak sangat pertukaran nama berlaku pada saat akhir, terutamanya membabitkan calon tempatan.

“Yang membuat keputusan pula bukan pimpinan negeri, sebaliknya ada ‘tangan-tangan ghaib’ dari pusat yang menentukan senarai akhir,” katanya saat akhir.

Difahamkan, PKR akan bertanding di 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Antara perubahan yang didakwa berlaku ialah pengurangan jumlah calon daripada kalangan masyarakat India yang sebelum ini diperuntukkan tiga kerusi, namun kini hanya tinggal dua kerusi sahaja.

Dua kerusi yang bakal ditandingi calon masyarakat India ialah Bukit Kepong dan Layang-Layang, manakala kerusi Buluh Kasap yang sebelum ini dikatakan bakal diperuntukkan kepada calon masyarakat India dipercayai telah ditukar pada saat akhir oleh pimpinan pusat tanpa alasan ‘munasabah’.

Sumber berkata, keputusan berkenaan menimbulkan persoalan dalam kalangan akar umbi mengenai komitmen parti terhadap keterangkuman dan representasi masyarakat India dalam kepimpinan.

“Jangan sampai masyarakat India di Johor sudah mula berasa ‘fed up’ dengan layanan seperti ini.

“Komuniti India selama ini banyak membantu dan menyokong PKR. Kalau perkara seperti ini terus berlaku, tidak mustahil sokongan itu akan semakin merosot,” tegasnya.

Beliau berkata, masyarakat India memainkan peranan penting di beberapa kerusi campuran dan sebarang keputusan yang dilihat tidak menghormati pengorbanan pemimpin tempatan boleh memberi kesan jangka panjang kepada parti.

“Satu ketika dahulu, parti memperuntukkan tiga kerusi kepada calon masyarakat India, namun kini jumlah itu berkurangan kepada hanya dua kerusi, walaupun komuniti India telah memainkan peranan penting dalam mengukuhkan PKR sejak era `Reformasi’.

“Ramai pemimpin dan aktivis masyarakat India telah bersama parti sejak zaman susah, turun padang, mempertahankan perjuangan dan menggerakkan jentera di akar umbi.

“Namun hari ini, mereka merasakan suara dan sumbangan mereka semakin dipinggirkan dalam parti sendiri, keputusan di ambil tanpa sedikit pun rasa peduli,” ujarnya lagi.

Anwar dijadual mengumumkan senarai penuh calon PH Johor di Padang Bukit Gambir Extreme Park, Tangkak pada jam 8 malam ini yang dijangka menyaksikan beberapa kejutan termasuk pertukaran calon di beberapa kerusi strategik. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast