Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Pandan menolak dakwaan bahawa akar umbi di Pandan tidak menyokong Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Lantaran itu, Ketua Cabang, Viknesvaran Jairaman mempersoalkan sumber dan asas kepada dakwaan tersebut kerana sehingga kini tiada bukti yang menunjukkan ia benar.

“Dakwaan yang dibuat oleh mantan Setiausaha Pengelola Cabang Pandan, Kok Khoon Mun dan Azila Yeop, bekas Pengarah Komunikasi Cabang Pandan, adalah tidak benar serta tidak mewakili pendirian sebenar akar umbi PKR Cabang Pandan.

Ia kerana, kepimpinan dan jentera Cabang Pandan terus memberikan sokongan padu kepada Tengku Zafrul sebagai calon berpotensi bagi kerusi Parlimen P100 Pandan pada Pilihan Raya Umum Ke-16 akan datang.

Katanya, pada 11 Jun 2026, Khamis, jam 8.30 malam, PKR Cabang Pandan telah mengadakan mesyuarat khas bersama Majlis Pimpinan Negeri untuk memperkukuh parti.

Malah, pelantikan semula jawatan-jawatan utama telah diputuskan di hadapan Timbalan Pengerusi PKR Negeri Selangor, Datuk Borhan Aman Shah.

Sebaliknya, dakwa beliau, pada 15 Jun 2026 pula,  Khoon Mun telah menyertai program sebuah parti lain apabila dilihat memakai vest parti tersebut.

“Individu-individu yang membuat kenyataan berkenaan kini sedang melalui proses berkaitan tindakan disiplin susulan penglibatan mereka dalam program parti lain dan Cabang Pandan mempunyai maklumat serta bukti mengenai penyertaan mereka dalam program tersebut,” tambahnya.

Viknesvaran menambah, kumpulan WhatsApp “Keluarga Keadilan”, yang digambarkan dalam laporan media baru-baru ini sebagai mewakili suara akar umbi Keadilan Pandan, sebenarnya telah disalahgunakan oleh individu berkenaan selaku admin kumpulan.

Selain itu, ahli-ahli yang masih setia bersama PKR telah disekat atau dikeluarkan daripada kumpulan tersebut, sekali gus menyebabkan kumpulan itu tidak lagi mencerminkan pandangan ahli parti Cabang Pandan.

Hakikatnya, kata Viknesvaran, Cabang PKR Pandan masih kukuh dan telah distrukturkan semula oleh kepimpinan baharu dan majoriti ahli jawatan kuasa yang menang semasa pemilihan juga kekal setia bersama parti.

“Cabang PKR Pandan kekal utuh, tersusun dan komited untuk memperkukuhkan parti serta berkhidmat kepada rakyat.

“Fokus kami adalah meneruskan kerja-kerja mendampingi masyarakat dan memperkukuhkan kesiapsiagaan parti menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16,” ujar beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast