KUALA LUMPUR – Dapur Brahim’s by Desatera Sdn. Bhd. menawarkan buffet pelbagai pilihan makanan tengahari yang berkualiti pada harga hanya RM10 kepada semua pelanggan.
Beroperasi di Randau Rasa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, buffet hidangan tempatan ini bukan hanya ditawarkan kepada warga universiti itu sahaja, sebaliknya turut dibuka kepada orang awam dari seluruh Lembah Klang.
Dengan tagline “Cedok puas-puas, bayar RM10 je!”, buffet tersebut menyediakan pelbagai hidangan termasuk Ayam Masak Sambal, Ayam Masak Lemak Cili Padi, Daging Tetel Asam Pedas, Ikan Kembung Masak Kari, Ikan Mata Besar Goreng Belado, pelbagai jenis sayur-sayuran, pilihan tauhu dan tempe, ulam-ulaman serta aneka sambal yang menjadi kegemaran ramai.
Berkonsepkan layan diri, buffet tersebut beroperasi setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula jam 11.00 pagi secara walk-in dan dine-in sahaja tanpa tempahan awal atau perkhidmatan bungkus.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Desatera Sdn. Bhd., Lt. Kol. (K) Datuk Paduka Feizal Nor Nurbi, inisiatif itu diperkenalkan bagi menyediakan pilihan makanan yang mampu milik tanpa mengabaikan aspek kualiti, kepelbagaian dan kepuasan pelanggan.
“Kami memahami bahawa ramai yang kini mencari hidangan berkualiti pada harga yang berpatutan.
“Melalui inisiatif Buffet RM10 ini, kami berharap dapat menawarkan pilihan makan tengah hari yang mampu milik kepada pelajar, kakitangan universiti dan komuniti sekitar tanpa mengorbankan aspek nilai serta kepelbagaian hidangan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tambah beliau, di Dapur Brahim’s, mereka percaya bahawa makanan yang enak dan berkualiti seharusnya dapat dinikmati oleh semua.
Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen kami untuk terus berkhidmat kepada komuniti sambil menawarkan pengalaman menjamu selera yang berteraskan kualiti, cita rasa dan layanan terbaik.
Katanya, inisiatif itu dijangka menjadi pilihan pelajar, golongan pekerja, keluarga serta komuniti setempat yang mencari hidangan makan tengah hari yang mengenyangkan dan berbaloi. -MalaysiaGazette
















