JOHOR BAHRU – Kementerian Pendidikan (KPM) mengarahkan semua pihak pengurusan sekolah seluruh negara memperkukuh aspek keselamatan menerusi pelaksanaan garis panduan keselamatan sekolah yang diwajibkan tanpa sebarang kompromi.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kementerian sudah mengambil langkah drastik bagi menangani isu keselamatan di sekolah dengan memperkenalkan garis panduan keselamatan yang diumumkan minggu lalu dan perlu dilaksanakan secara menyeluruh oleh semua pentadbir sekolah.
“Aspek keselamatan pelajar mesti diberi perhatian serius oleh pihak sekolah bagi memastikan persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif untuk semua warga sekolah.
“Saya ingin mengingatkan sekali lagi kepada semua pentadbir sekolah supaya meningkatkan tahap keselamatan di sekolah, khususnya yang melibatkan keselamatan pelajar,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Perabot Madani dan Program Kalvi Madani di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Yahya Awal, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Manusia, Datuk Ramanan Ramakrishnan.
Fadhlina berkata, KPM juga komited memastikan setiap isu berkaitan keselamatan terus diberi keutamaan melalui pemantauan berterusan serta kerjasama erat antara pihak sekolah, ibu bapa dan komuniti setempat.
Menurut beliau, semua pihak yang berkaitan dengan institusi pendidikan perlu memainkan peranan masing-masing dalam meningkatkan kesedaran keselamatan termasuk mengingatkan pelajar mengenai kepentingan menjaga keselamatan diri setiap hari.
Beliau mengulas susulan insiden melibatkan seorang pelajar perempuan Tingkatan Empat yang maut selepas dipercayai terjatuh dari blok sebuah sekolah di Sendayan, Negeri Sembilan, Jumaat lalu.
Semalam, Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad mengesahkan tiada unsur jenayah dikesan dalam kejadian berkenaan berdasarkan siasatan awal dan hasil bedah siasat yang dijalankan.
Beliau berkata, punca kematian pelajar berusia 16 tahun itu dikenal pasti akibat kecederaan pada bahagian kepala selepas terjatuh dari tempat tinggi dan tidak menjurus kepada kes buli atau seumpamanya.
Menurut Alzafny, kes berkenaan masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) namun siasatan lanjut terus dijalankan, dengan antara 10 hingga 15 individu termasuk ibu bapa, guru dan rakan sekolah mangsa telah dipanggil bagi membantu siasatan.
Sebelum ini, Fadhlina turut menyantuni keluarga pelajar terbabit di Unit Perubatan Forensik Hospital Rembau serta menegaskan masyarakat perlu memberi ruang dan menghormati sensitiviti keluarga selain memberi kerjasama kepada pihak berkuasa yang sedang menjalankan siasatan.- MalaysiaGazette
















