Menteri Pengangkutan, Anthony Loke

KUALA LUMPUR – Lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Rusia baru-baru ini membawa perkembangan positif kepada negara apabila Malaysia memperoleh komitmen bekalan minyak jangka panjang daripada negara berkenaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, komitmen yang diberikan Presiden Rusia, Vladimir Putin itu penting bagi memastikan keterjaminan bekalan tenaga negara, khususnya untuk sektor logistik dan pengangkutan.

Menurut beliau, perkara itu juga merupakan hasil pendekatan dasar luar Malaysia yang menjalinkan hubungan diplomatik dengan semua negara termasuk kuasa-kuasa besar dunia.

“Perdana Menteri telah menyatakan secara terbuka hasil lawatan ke Rusia baru-baru ini bahawa beliau mendapat komitmen daripada Presiden Putin sendiri bahawa Rusia akan memastikan bekalan minyak yang berkekalan untuk jangka masa panjang kepada negara kita.

“Jadi ini memang satu perkembangan yang positif buat negara dan juga merupakan hasil strategi dasar luar negara kita yang tidak berpihak kepada mana-mana kuasa besar tetapi mengambil pendirian untuk berdiplomasi dengan semua negara asing terutamanya kuasa-kuasa besar seperti Rusia, Amerika Syarikat dan China,” katanya selepas melancarkan Persidangan Ekonomi Maritim Global 2026 di sini hari ini.

Anthony berkata, jaminan bekalan minyak amat penting kerana negara memerlukan kepastian dan keselamatan bekalan terutama bagi memastikan sektor logistik serta pengangkutan terus beroperasi tanpa gangguan.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diterima daripada Petronas, bekalan minyak negara ketika ini masih terjamin meskipun pasaran tenaga global terus berdepan ketidaktentuan susulan konflik geopolitik yang berlaku.

Beliau berkata, harga bahan api termasuk bahan api penerbangan masih bergantung kepada turun naik harga pasaran dunia sekali gus memberi cabaran kepada syarikat penerbangan yang berdepan kos operasi lebih tinggi.

“Kalau kita memperhentikan operasi penerbangan, ia akan memberi impak kepada industri lain seperti pelancongan, perniagaan dan sektor-sektor yang berkaitan. Sebab itu kerajaan sentiasa mengadakan perbincangan dengan syarikat penerbangan dan berharap mereka dapat meneruskan operasi seperti biasa,” katanya.

Menurutnya, strategi mendapatkan komitmen bekalan daripada negara-negara yang mempunyai hubungan baik dengan Malaysia termasuk Rusia telah memberikan hasil apabila bekalan negara terus terjamin sepanjang tempoh konflik.

“Bagi kita, yang paling penting ialah kepastian bekalan. Jika bekalan minyak terputus, pelbagai sektor ekonomi akan terjejas.

“Namun sepanjang tempoh lebih tiga bulan selepas konflik berlaku, perkara itu langsung tidak berlaku dalam negara kita dan bekalan masih terjamin,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, lawatan kerja dua hari Anwar ke Kazan, Rusia menyaksikan Malaysia dan Rusia komited untuk memperkukuh kerjasama dalam aspek keterjaminan tenaga, perdagangan, pelaburan, pelancongan dan teknologi.

Antara hasil utama lawatan tersebut ialah komitmen Rusia untuk membantu menjamin bekalan minyak kepada Malaysia bagi tempoh jangka panjang menerusi perjanjian yang lebih stabil berbanding pembaharuan kontrak secara tahunan atau bermusim. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast