KUALA LUMPUR – Parti Bersama Malaysia diminta mendedahkan “formula” yang bakal digunakan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor selepas parti itu mengumumkan akan bertanding di 15 kerusi DUN di negeri berkenaan.
Penasihat Pertubuhan Kebajikan Impak Madani (Impak Madani), John Ooh Sin Hwa berkata, persoalan itu ditujukan kepada pemimpin utama parti berkenaan, Datuk Seri Rafizi Ramli yang sebelum ini sering dikaitkan dengan pelbagai formula politik dan ekonomi.
“Namun, saya tidak meletakkan harapan tinggi untuk melihat formula Rafizi selepas dia gagal untuk melaksanakan formula yang dicipta semasa menjadi menteri ekonomi.
“Mungkin juga Rafizi sudah sedar bahawa rakyat tidak lagi akan terpedaya dengan taktik menipu itu, jadi tidak ada formula Kancil lagi selepas ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bersama sebelum ini mengumumkan bahawa kerusi-kerusi berkenaan dipilih berdasarkan beberapa faktor penilaian yang dibuat pihaknya, termasuklah penerimaan penduduk setempat terhadap parti berkenaan.
Kerusi yang akan ditandingi Bersama adalah DUN Bukit Naning, Mahkota, Tiram, Puteri Wangsa, Johor Jaya, Permas, Larkin, Stulang, Perling, Kempas, Skudai, Kota Iskandar, Bukit Permai, Bukit Batu dan Senai.
Untuk rekod, ini kali pertama Parti Bersama turun ke gelanggang pilihan raya setelah Rafizi ambil alih Parti Bersama bersama Nik Nazmi, bukan tubuh parti baharu.
Penyerahan itu dibuat oleh pengasas dan presiden asal parti, Tan Gin Theam pada 17 Mei lalu dalam majlis pengumuman hala tuju politik mereka. – MalaysiaGazette
















