KUALA LUMPUR – Mesyuarat Perikatan Nasional (PN) malam ini memutuskan dua perkara utama iaitu berhubung keahlian gabungan itu serta persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, mesyuarat bersetuju menerima dua parti politik sebagai anggota baharu PN.
Menurut beliau, parti berkenaan ialah Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Parti Cinta Malaysia (PCM).
“Ada dua agenda sahaja yang dibincangkan, iaitu yang pertama berkenaan dengan keahlian Perikatan Nasional dan yang kedua berkenaan dengan Pilihan Raya Negeri Johor.
“Berkenaan dengan keahlian Perikatan Nasional, mesyuarat bersetuju untuk meneliti permohonan dua parti politik untuk menjadi parti anggota Perikatan Nasional yang baharu.
“Ada dua yang dipersetujui untuk diterima dan diluluskan, iaitu yang pertama Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan yang kedua Parti Cinta Malaysia (PCM),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Tergempar Majlis Tertinggi (MT) PN di Ibu Pejabat Pas, di sini malam ini.
Turut hadir Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau; Presiden MIPP, P Punithan dan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Mengulas agenda kedua, Ahmad Samsuri berkata, mesyuarat turut memberi tumpuan kepada PRN Johor serta persiapan bagi menghadapi PRN Negeri Sembilan.
Katanya, mesyuarat bersetuju supaya pemuktamadan pembahagian kerusi diselesaikan segera menerusi Jawatankuasa Rundingan Kerusi.
“Mesyuarat bersetuju untuk memuktamadkan agihan kerusi melalui Jawatankuasa Rundingan Kerusi dalam tempoh segera.
“Saya dimaklumkan bahawa wakil parti yang dipilih untuk rundingan kerusi ini akan bermesyuarat pada hari esok dan insya-Allah ia dapat diselesaikan dalam tempoh segera sebelum penamaan calon pada hari Sabtu nanti di Johor,” katanya.
Ahmad Samsuri berkata, mesyuarat itu akan dihadiri dua wakil setiap parti tanpa melibatkan PCM pimpinan Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Mesyuarat itu akan diadakan petang esok di ibu pejabat Pas.
Sementara itu, ditanya mengenai soal penggunaan logo bagi menghadapi PRN Johor dan Negeri Sembilan akan datang termasuk sekiranya terdapat parti komponen yang mahu menggunakan lambang masing-masing, Ahmad Samsuri berkata, perkara itu akan turut dibincangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Rundingan Kerusi esok.
“Tak bincang lagi (kalau ada salah satu parti PN mahu guna logo sendiri).
“Esok akan bincang sesama parti komponen,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















