Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim menunjukkan surat laporan polis mengenai mangsa 18 syarikat dan platform skim penipuan pelaburan sindiket melibatkan 18 syarikat dan platform skim di JSJK Bukit Aman, Menara KPJ. Foto MOHD ADZLAN, 23 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kemanusian Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) menggesa pihak polis menjalankan siasatan terhadap 18 syarikat dan platform yang disyaki terlibat sindiket skim penipuan pelaburan di negara ini dengan kerugian kini mencecah lebih RM400 juta.

Lebih 100 mangsa dengan diiringi wakil MHO untuk menyerahkan memorandum kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman bagi mendesak siasatan dilaksanakan dan suspek segera didakwa di mahkamah.

Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashin berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada mangsa dari seluruh negara melibatkan beberapa kes yang telah berlaku sejak beberapa tahun lalu.

Katanya, walaupun banyak kertas siasatan kes berkaitan telah dibuka namun sehingga kini masih belum ada sebarang tindakan daripada pihak polis sekali gus menimbulkan rasa kecewa mangsa terhadap laporan yang dibuat.

“Jadi hari ini, kami beramai-ramai hadir untuk menghantar 18 surat berkaitan 18 syarikat kepada Pengaraha JSJ Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa yang kami hormati.

“Dalam kalangan mangsa ini ada kertas siasatan telah dirujuk kepada agensi lain dan ada yang masih dalam siasatan tetapi sehingga hari ini belum ada sebarang pendakwaan dilakukan. Itu saya tidak nafikan.

“Saya tidak faham, adakah kertas siasatan ini hanya sekadar untuk menyebabkan semua orang tunggu sampai tiga hingga empat tahun? Mereka mahukan siasatan itu dilengkapkan dan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) atau pendakwaan.

“Kerugian ini melibatkan jutaan ringgit tetapi mereka tidak nampak depan mata si dalang ini akan dituduh atau didakwa. Mereka mahukan keadilan. Adakah mendapat keadilan di Malaysia ini sukar?,” katanya dalam sidang media selepas menyerahkan memorandum di sini hari ini.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim bercakap kepada media mengenai mangsa 18 syarikat dan platform skim penipuan pelaburan sindiket melibatkan 18 syarikat dan platform skim di JSJK Bukit Aman, Menara KPJ. Foto MOHD ADZLAN, 23 JUN 2026.

Mengulas lanjut Hishamudin berkata, beliau tidak mempersoalkan tugas pihak polis kerana banyak kes yang dibawa MHO telah berjaya dituduh di mahkamah, namun merayu agar 18 syarikat terlibat segera dikenakan tindakan.

“Bukan saya kata pihak polis tidak buat kerja, cuma terdapat 18 lagi syarikat yang hari ini kami serahkan maklumat-maklumat ini serta surat berkaitan untuk diambil tindakan.

“Modus operandi mereka macam-macam, terlalu banyak mahu cerita hari ini, yang boleh saya beritahu 18 platform ini setiap satu syarikat kerugian jutaan ringgit dan kami pun malas nak kira dah terlalu banyak,” ujarnya.

Mangsa, Che Kob Che Ngah, 68 bercakap kepada media mengenai mangsa 18 syarikat dan platform skim penipuan pelaburan sindiket melibatkan 18 syarikat dan platform skim di JSJK Bukit Aman, Menara KPJ. Foto MOHD ADZLAN, 23 JUN 2026.

Sementara itu, wakil mangsa dari Pasir Mas, Kelantan, Che Kob Che Ngah, 68, merayu agar pihak bertanggungjawab segera mengambil tindakan selepas dirinya mengalami kerugian sebanyak RM80,000 dalam pelaburan salah satu syarikat koperasi di Kota Bharu.

Dia yang juga pesara guru berkata, koperasi terbabit menawarkan 10 jenis pelaburan dan menjanjikan pulangan dua peratus setiap bulan dalam tempoh lima tahun namun pembayaran hibah terhenti selepas enam bulan disertainya pada tahun 2019.

“Saya lakukan pelaburan ini hasil daipada ganjaran persaraan  dan kini saya berumur 68 tahun, sudah tidak lama dah. Jadi saya harap perkara ini dapat diselesaikan selagi masih ada hayat ini.

“Tak ada alasan (daripada koperasi). Mereka senyap begitu sahaja dan selepas enam bulan. Sekarang koperasi itu dah tutup saya pun tak tahu ke mana. Kita sudah tanya tetapi mereka senyap.

“Kami pergi ke pejabat operasi tapi cuma ada orang bawahan. Anggaran mangsa terlibat dalam koperasi ini dalam 100 orang mungkin lebih tapi banyak mangsa cuma diamkan diri dan tidak mahu besar-besarkan,” jelasnya dalam nada kecewa. – MalaysiaGazette 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast