KUALA LUMPUR – Seorang wanita tempatan berusia 31 tahun ditahan polis selepas dipercayai menikam suaminya dalam satu kejadian di Kota Samarahan, Sarawak semalam.
Menurut kenyataan, suspek ditahan oleh anggota Rondaan Cegah Jenayah (RCJ) dari Balai Polis Kota Samarahan selepas menerima maklumat mengenai seorang lelaki yang mengalami kecederaan parah di bahagian perut akibat ditikam menggunakan pisau.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada pertengkaran antara pasangan suami isteri berkenaan sebelum mangsa mengalami kecederaan serius.
“Suspek yang merupakan wanita berbangsa Iban berjaya dikesan di Institut Jantung Negara (IJN) Kota Samarahan ketika mendapatkan rawatan akibat kecederaan pada bahagian kening kanan.
“Selepas selesai menerima rawatan, suspek dibawa ke Balai Polis Kota Samarahan sebelum ditahan bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam kes itu, polis turut merampas sebuah topi keledar berwarna biru dalam operasi tangkapan tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan cedera parah menggunakan senjata berbahaya.
“Siasatan lanjut masih diteruskan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Samarahan,” kata kenyataan yang sama. – MalaysiaGazette















