KUALA LUMPUR – AirBorneo ketika ini hanya mengendalikan perkhidmatan penerbangan udara luar bandar menggunakan 14 buah pesawat iaitu lapan buah pesawat jenis ATR-72 dan enam buah pesawat jenis Twin Otter.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, bagi mengembangkan operasi perkhidmatan penerbangan komersial, AirBorneo mempunyai perancangan untuk memperoleh tiga pesawat melalui kaedah “wet lease” di mana kesemua pesawat dan perkhidmatan kru penerbangan akan turut disediakan oleh pemberi sewa.
Jelas beliau, kementerian Pengangkutan kekal komited dalam memastikan rakyat di Sarawak menikmati akses kepada perkhidmatan penerbangan yang cekap, berpatutan, berkualiti dan selamat.
“Kerajaan Negeri Sarawak melalui anak syarikatnya AirBorneo telah mengambil alih MASwings mulai 1 Januari 2026. Sehubungan itu, pihak AirBorneo boleh mengemukakan permohonan untuk menyediakan perkhidmatan penerbangan bagi laluan tertentu secara komersial.
“AirBorneo mempunyai perancangan untuk mengendalikan penerbangan antarabangsa iaitu laluan Kuching-Jakarta dan Kuching-Singapura menggunakan pesawat jet pada suku ketiga tahun ini.
“Selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI, Kerajaan Persekutuan akan terus memperkukuh kerjasama strategik bersama semua pihak berkepentingan bagi memastikan keperluan pengangkutan udara di Sarawak dapat dipenuhi secara inklusif dan mampan demi kesejahteraan rakyat,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen hari ini.
Anthony Loke menjawab soalan Datuk Larry Sng Wei Shein (Bebas-Julau) berhubung sama ada AirBorneo mempunyai perancangan untuk mengendalikan penerbangan antarabangsa.
Beliau turut meminta kementerian menyatakan destinasi luar negara yang dikenal pasti AirBorneo dan waktu perkhidmatan tersebut dijangka dimulakan, jumlah pesawat yang sedang beroperasi pada masa ini serta jumlah pesawat tambahan yang telah ditempah bagi menyokong pengembangan operasi syarikat tersebut. – MalaysiaGazette
















