TOULOUSE – Syarikat pengeluar pesawat Eropah, Airbus, akan memeriksa 16 pesawat superjumbo A380 miliknya termasuk lima pesawat serta-merta, selepas keretakan ditemui pada komponen penting sayap beberapa pesawat yang dikendalikan oleh syarikat penerbangan Emirates dan Qantas.
Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah (EASA) mengarahkan pemeriksaan segera terhadap struktur struktur tulang belakang di dalam sayap pesawat terlibat selepas keretakan dikesan ketika pemeriksaan penyelenggaraan rutin, menurut Airbus pada Selasa.
Keretakan itu ditemui memanjang di sepanjang sayap dan berfungsi menanggung sebahagian besar beban aerodinamik pesawat dua tingkat gergasi tersebut ketika penerbangan.
Daripada 16 pesawat yang akan diperiksa, 15 dikendalikan oleh Emirates manakala sebuah lagi milik Qantas.
Lima pesawat yang perlu diperiksa segera semuanya dikendalikan oleh Emirates dan dijadual menjalani proses itu seawal hari Rabu.
Antara syarikat penerbangan lain yang mengendalikan A380 ialah Singapore Airlines, British Airways, Lufthansa, Qatar Airways, Korean Air, Etihad Airways, All Nippon Airways (ANA) dan Asiana Airlines.
Emirates mengendalikan pesawat A380 terbesar di dunia dengan lebih separuh daripada keseluruhan pesawat jenis itu yang masih aktif, selepas Airbus menamatkan pengeluarannya pada 2021.
Dalam kenyataannya pada Rabu, Emirates memaklumkan pemeriksaan akan bermula dalam tempoh 48 jam dan semua kerja pembaikan yang diperlukan akan disiapkan sebelum pesawat kembali beroperasi.
Syarikat penerbangan itu berkata, ia akan bekerjasama rapat dengan Airbus dan pihak berkuasa berkaitan bagi meminimumkan gangguan terhadap jadual penerbangan.
Menurut Airbus, keretakan yang “berpotensi mengurangkan integriti struktur sayap” itu dikesan hasil pemeriksaan yang diarahkan EASA menerusi satu arahan pada Disember 2025.
Semua pesawat A380 yang mempunyai sejarah pengeluaran sama telah dikenal pasti, dengan lima daripadanya menjalani pemeriksaan segera. Baki 11 pesawat boleh diperiksa kemudian, namun mesti dilakukan sebelum penerbangan ke-13 berikutnya atau dalam tempoh 25 kitaran operasi.
Ini bukan kali pertama A380 berdepan isu berkaitan sayap. Pada 2012, EASA turut mengarahkan pemeriksaan selepas keretakan ditemui pada pendakap yang menghubungkan kulit sayap dengan rusuk dalaman, sekali gus membawa kepada program pembaikan berskala besar sebelum reka bentuknya ditambah baik pada pesawat keluaran berikutnya. – Agensi
















