KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelaskan pihak yang sebenarnya menghalang Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi masuk ke kawasan FELDA.
Desakan sama turut dibuat beliau terhadap Pengarah FELDA, selepas Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menafikan ada mengeluarkan arahan atau halangan sedemikian.
Tegas beliau, jawapan daripada Anwar dan kepimpinan FELDA itu perlu bagi merungkai persoalan yang bermain di fikiran rakyat berhubung kontroversi tersebut.
“Jadi, saya minta Yang Amat Berhormat Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan juga Ketua Pengarah FELDA, untuk menjawab siapa yang tak bagi ni.
“Jadi, FELDA tolong jawab, Perdana Menteri kita, tolong jawab.
“Janganlah jadi bab kata pepatah, dah baling batu, lepas tu sorok tangan juga.
“Rakyat ni nak tahu ni, arahan siapa ni? Kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia dan juga Ketua Pengarah FELDA, mohon dan tolong jawab persoalan yang bermain di fikiran rakyat ni. Terima kasih,” katanya menerusi video yang dimuat naik di Facebooknya hari ini.
Hari ini, Ahmad Zahid seperti dilaporkan media berkata, tiada sebarang arahan atau halangan untuk Menteri Besar masuk ke kawasan FELDA.
Dalam satu jawapan ringkas kepada BH, Ahmad Zahid menjelaskan tindakan seperti yang didakwa Onn Hafiz itu juga tidak diarahkannya.
“Saya tidak pernah mengarahkan atau menghalang Menteri Besar Johor untuk masuk ke dalam kawasan FELDA,” katanya.
Onn Hafiz semalam mendedahkan beliau dihalang memasuki kawasan FELDA bagi penyerahan geran hak milik kepada peneroka sempena sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026, hujung minggu lalu.
Onn Hafiz sebelum ini mendedahkan, beliau dihalang memasuki kawasan FELDA bagi penyerahan geran hak milik kepada peneroka sempena sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026, hujung minggu lalu.
Ini menyebabkan majlis yang sepatutnya dijadual berlangsung di FELDA Ulu Belitong, Kluang pada 20 dan 21 Jun lalu terpaksa ditukar ke Dewan Dato’ Onn, Taman Sri Lambak di sini.
Menurut Dr Muhamad Akmal, penjelasan daripada Anwar itu juga disebabkan FELDA masih berada di bawah agensi Jabatan Perdana Menteri.
“Kalau bukan arahan daripada Menteri Penyelia iaitu Datuk Seri (Ahmad) Zahid, mestilah arahan yang FELDA dapat ni daripada orang yang lebih tinggi daripada Menteri Penyelia, iaitu kemungkinan adakah ini arahan daripada Jabatan Perdana Menteri ataupun arahan daripada Perdana Menteri kita sendiri? Ini persoalan saya,” katanya. – MalaysiaGazette















