KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Baghraib Ali menggesa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi tampil secara terbuka dan menyatakan dengan jelas pihak yang melarangnya daripada memasuki FELDA.
Menurut beliau, sekiranya gagal berbuat demikian, rakyat berhak mempersoal mengapa dakwaan itu dimainkan seolah-olah wujud satu konspirasi untuk menyekat beliau di fasa-fasa kehangatan menuju Pilihan Raya Negeri (PRN).
Tambah beliau, sekiranya dakwaan Onn Hafiz itu benar, ia merupakan sesuatu yang sangat serius.
Ujarnya, sebagai Menteri Besar, Onn Hafiz tidak perlu menjadi ‘drama king’ yang membina dakwaan kabur dan tidak disertakan fakta lengkap.
Dalam masa sama, beliau menggesa supaya Onn Hafiz berhenti membina naratif simpati politik yang tidak berasas menjelang PRN.
“Bagi saya persoalan paling asas ialah “siapa sebenarnya yang halang beliau?”
“Adakah FELDA menghalang beliau? Atau pihak keselamatan menghalang beliau? Adakah pengurusan rancangan menghalang beliau? Atau adakah arahan itu datang daripada pihak lain?” katanya menerusi Facebook hari ini.
Tambahnya, setakat ini, Onn Hafiz hanya membuat dakwaan umum bahawa beliau tidak dibenarkan memasuki FELDA, tetapi gagal menamakan pihak yang kononnya menghalangnya.
“Kita sekarang sudah memasuki musim pilihan raya. Oleh itu, rakyat berhak bertanya sama ada kenyataan sebegini sekadar satu naratif politik untuk menimbulkan persepsi bahawa beliau sedang dizalimi.
“Play victim,” katanya.
Onn Hafiz semalam mendedahkan beliau dihalang memasuki kawasan FELDA bagi penyerahan geran hak milik kepada peneroka sempena sambutan Hari Peneroka FELDA Negeri Johor 2026, hujung minggu lalu.
Ini menyebabkan majlis yang sepatutnya dijadual berlangsung di FELDA Ulu Belitong, Kluang pada 20 dan 21 Jun lalu terpaksa ditukar ke Dewan Dato’ Onn, Taman Sri Lambak.
Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini menafikan ada mengeluarkan arahan atau halangan sedemikian. – MalaysiaGazette
















