Kompleks Mahkamah Kuala Terengganu.

KUALA TERENGGANU – Seorang guru didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang pelajar lelaki, awal bulan ini.

Muhammad Izzuddin Mohmad Asari, 31, mengaku tidak bersalah selepas dua pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.

Berdasarkan pertuduhan pertama dan kedua, lelaki itu didakwa melakukan amang seksual fizikal ke atas pelajar berusia 13 tahun di sebuah hotel di sini pada 8 pagi 4 Jun.

Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan manakala pertuduhan kedua di bawah Seksyen 14(d) akta itu yang memperuntukkan hukuman sama.

Mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin bagi dua pertuduhan itu berserta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan, selain menetapkan 23 Julai sebagai sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Aisyah Mohamad manakala lelaki itu diwakili peguam Abdul Hayyi Salim. – BERNAMA

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast