KUALA LUMPUR – Kesemua 14 perkhidmatan klinikal yang dirancang untuk ditawarkan di Hospital Pasir Gudang (HPG) telah pun dimulakan sehingga 11 Jun lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, bagi perkhidmatan pesakit dalaman, sembilan daripada 14 wad atau 64 peratus jumlah keseluruhan kapasiti HPG sudah dibuka bersamaan 157 katil.
Menurut beliau, sasaran pembukaan 100 peratus HPG dijangka menjelang September ini.
“Bagi Projek Pembinaan Baharu Pusat Rawatan Harian (ACC) dan Kompleks Klinik Pakar Di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, Johor, projek ini pada mulanya telah diluluskan bagi pelaksanaan kerja-kerja awalan oleh Kementerian Ekonomi di bawah Rancangan Malaysia Kedua Belas, Rolling Plan 1 (RMK12 RP1).
“Seterusnya, pada tahun 2024, projek ini telah mendapat kelulusan butiran penuh dengan pelantikan Jabatan Kerja Raya (JKR) sebagai agensi pelaksana.
“Skop utama projek di bawah kelulusan butiran penuh ini merangkumi pembinaan bangunan blok ACC, Kompleks Klinik Pakar, kemudahan tempat letak kereta bertingkat, serta kerja-kerja infrastruktur lain yang berkaitan.
“Mengenai status semasa projek, pelaksanaan kini berada dalam fasa perolehan oleh pihak JKR dan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor yang berjaya dijangka dapat dikeluarkan pada Mei 2027.
“Tempoh pembinaan keseluruhan dianggarkan mengambil masa selama lima tahun atau 60 bulan, dan projek ini diunjurkan siap sepenuhnya serta diserahkan pada Jun 2032,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) yang bertanya
status terkini pengoperasian sepenuhnya HPG dan status pelaksanaan peruntukan RM500 juta yang telah diluluskan kerajaan bagi kerja-kerja naik taraf Hospital Sultanah Aminah, termasuk skop projek, kemajuan pelaksanaan dan jangka masa penyiapannya.
Baru-baru ini, Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail membangkitkan isu kelewatan projek kesihatan, termasuk HPG, kekurangan doktor dan kakitangan serta kelulusan Hospital Sultanah Aminah II yang masih belum dimuktamadkan.
Baginda bertitah, HPG pernah berdepan risiko pembatalan sebelum baginda secara konsisten mendesak selama empat tahun supaya kemudahan itu disiapkan dan dibuka kepada rakyat. – MalaysiaGazette
















