Tangkap layar daripada video tular atan kes tular pergaduhan menyebabkan dua lelaki parah di Jalan Gapam, Bemban, Jasin, Melaka yang didakwa berpunca daripada perasaan cemburu melibatkan seorang wanita dikenali sebagai 'Rina'.

JASIN – Polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes tular pergaduhan menyebabkan dua lelaki parah di Jalan Gapam, Bemban di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, kesemua suspek berusia 20 hingga 29 tahun itu ditahan antara pukul 3 petang hingga 6.50 petang semalam dalam beberapa serbuan berasingan di sekitar negeri ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu melibatkan seorang wanita dikenali sebagai ‘Rina’ serta pertikaian mengenai beg tangan miliknya yang didakwa diambil seorang pemuda berusia 19 tahun.

“Bagaimanapun, sebaik mereka bertemu berhampiran sebuah stesen minyak di Bemban kira-kira pukul 12.10 tengah malam, berlaku pertengkaran mulut sebelum pemuda itu ditampar oleh salah seorang suspek.

“Pemuda itu kemudian menghubungi ahli keluarganya untuk mendapatkan bantuan sebelum abangnya tiba namun bertukar menjadi pergaduhan antara dua kumpulan lelaki menggunakan tangan dan sebatang kayu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, pergaduhan itu menyebabkan dua lelaki berusia 21 dan 28 tahun mengalami kecederaan serius namun dilaporkan stabil.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert.

“Seorang daripada mangsa mengalami pendarahan dalam otak dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka, manakala seorang lagi parah pada anggota badan juga diberikan rawatan di hospital sama,” katanya.

Lee berkata, hasil soal siasat mendapati semua suspek mengaku berada di lokasi kejadian, namun ada yang mendakwa hanya meleraikan pergaduhan manakala seorang wanita mengaku sekadar merakam video kejadian menggunakan telefon bimbitnya.

“Polis turut mengenal pasti seorang lagi lelaki dikenali sebagai Alif yang masih bebas namun dipercayai terlibat dalam kejadian itu dan kini sedang dikesan bagi membantu siasatan.

“Pelbagai barangan dipercayai mempunyai kaitan dengan kes turut dirampas termasuk telefon bimbit, pakaian dan sebatang kayu yang dipercayai digunakan dalam pergaduhan tersebut,” katanya.

Tambahnya, kesemua suspek telah ditahan untuk mendapatkan permohonan reman di Mahkamah Majistret Jasin hari ini.

“Ia bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah menggunakan senjata atau benda berbahaya dan merusuh menggunakan senjata,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast