KUALA LUMPUR – Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Pulau Pinang dijangka siap dan mula beroperasi pada Disember 2031 berdasarkan jadual pelaksanaan semasa.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, projek sepanjang kira-kira 29.67 kilometer itu kini sedang dilaksanakan oleh Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp) sebagai agensi pelaksana projek.
Menurut beliau, secara keseluruhannya, kemajuan projek LRT Laluan Mutiara ketika ini adalah 8.99 peratus dan pelaksanaannya sedang berjalan mengikut perancangan yang telah ditetapkan.
“Projek ini akan menghubungkan kawasan utama di Pulau Pinang termasuk Komtar, Bayan Lepas, Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang serta Penang Sentral di Seberang Perai.
“Projek ini dijangka dapat meningkatkan kesalinghubungan rangkaian pengangkutan awam, mengurangkan kesesakan lalu lintas dan bakal memberi manfaat kepada lebih 1.8 juta penduduk di pulau serta komuniti di Seberang Perai, Kedah selatan dan Perak utara.
“Tambahan juga, terdapat anggaran 3.5 juta pengunjung termasuk pelancong ke Pulau Pinang setiap tahun yang akan memanfaatkan infrastruktur ini.
“Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan projek ini bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual yang telah ditetapkan,” katanya menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat yang disiarkan menerusi laman sesawang Parlimen hari ini.
Anthony Loke menjawab soalan RSN Rayer (PH-Jelutong) berkenaan bila projek pembinaan LRT di Pulau Pinang dijangka siap dan boleh mula digunakan. – MalaysiaGazette
















