MBMB sedang mengesan seorang lelaki yang tular di media sosial selepas didakwa menghulurkan seekor ular ke dalam sebuah kereta sehingga menyebabkan beberapa wanita panik dan trauma malah hampir mengakibatkan kemalangan.

MELAKA – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) sedang mengesan seorang lelaki yang tular di media sosial selepas didakwa menghulurkan seekor ular ke dalam sebuah kereta sehingga menyebabkan beberapa wanita panik dan trauma malah
hampir mengakibatkan kemalangan.

Kejadian berlaku di hadapan Bangunan Stadthuys, Banda Hilir ketika mangsa sedang melalui jalan raya di hadapan di kawasan tumpuan pelancong itu.

Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman berkata, pihaknya memandang serius kejadian itu dan akan menjalankan siasatan bagi mengenal pasti identiti individu terbabit yang tidak sepatutnya melakukan tindakan sedemikian.

Menurutnya, beliau turut tidak menolak kemungkinan individu sama pernah mengemukakan permohonan lesen sebagai seniman jalanan kepada MBMB pada Mei lalu, namun ditolak pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

“MBMB tidak pernah meluluskan permit atau lesen kepada mana-mana seniman jalanan yang membawa haiwan kerana faktor keselamatan diri, orang ramai serta faktor kebersihan.

“Kita sedang mengesan individu terbabit dan jika dikenal pasti, tindakan kompaun akan dikenakan. Kita juga sedang menyiasat sama ada dia merupakan individu yang pernah mengemukakan permohonan lesen kepada MBMB sebelum ini,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini hari ini.

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial hari ini memaparkan seorang wanita mendakwa mengalami trauma selepas seorang lelaki menghulurkan seekor ular melalui tingkap keretanya ketika memandu melepasi kawasan itu bersama rakan dan adiknya.

Menurut wanita itu, lelaki terbabit pada mulanya dilihat bergurau sebelum bertindak menolak ular berkenaan lebih jauh ke dalam kenderaan walaupun telah diminta berhenti.

Situasi itu menyebabkan rakannya keluar dari kereta kerana ketakutan, manakala mangsa yang panik cuba mengelak sehingga terlupa menukar gear kenderaan yang masih berada dalam mod pemanduan.

Akibatnya, kereta tersebut bergerak ke hadapan ketika sebelah kaki mangsa berada di luar kenderaan dan hampir mengundang kemalangan.

Wanita itu turut mendakwa lelaki berkenaan tidak memohon maaf selepas kejadian malah meneruskan siaran langsung di media sosial sambil memaparkan wajahnya tanpa kebenaran.

Berdasarkan video tular kedengaran suara wanita menangis dan merayu agar perbuatan itu dihentikan namun tidak diendahkan individu berkenaan.

Mengulas lanjut, Shadan berkata, MBMB sememangnya tidak membenarkan aktiviti seniman jalanan yang melibatkan haiwan walaupun haiwan tersebut tidak berbisa atau tidak berbahaya.

“Bukan semua orang boleh menerima kehadiran haiwan seperti ular kerana ada yang takut dan boleh panik seperti yang berlaku dalam kes ini.

“Dalam usaha merancakkan sektor pelancongan negeri, semua seniman jalanan perlu memastikan keselamatan diri serta orang ramai dan mendapatkan permit atau lesen yang sah daripada MBMB,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast