KUALA LUMPUR – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus memperkukuh komitmen dalam menyantuni golongan asnaf menerusi perasmian Pusat Agihan Zakat (PAZA) Cawangan Batu yang kini beroperasi di lokasi baharu di Jalan Pelangi 10, Taman Pelangi, di sini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, PAZA kesembilan itu menjadi penggerak untuk membantu asnaf-asnaf di sekitar kawasan itu.
“Kawasan Batu mempunyai antara golongan asnaf tertinggi, PAZA akan menjadi entiti untuk membantu penduduk di sini,” ujarnya kepada media selepas merasmikan PAZA Cawangan Batu di lokasi baharu di Taman Pelangi hari ini.

Sementara itu, MAIWP dalam kenyataan memaklumkan, agensi itu telah mengagihkan dana zakat berjumlah RM505,604,203 sehingga semalam.
Menurut kenyataan itu, dana zakat itu meliputi 38 Skim Bantuan meliputi (kluster2) selain bantuan secara tidak langsung menerusi program pembangunan asnaf dan menerusi institusi pendidikan milik MAIWP.
Zulkifli selanjutnya berkata, MAIWP sedang mengenal pasti lebih banyak lokasi PAZA baharu yang mempunyai bangunan lebih selesa selain penyimpanan data dan profil asnaf yang lebih sempurna.
Ujar beliau, ia bagi memastikan pusat berkenaan menjadi simbol komitmen MAIWP dalam memastikan perkhidmatan agihan zakat lebih dekat, selesa dan mudah diakses oleh masyarakat setempat.

Katanya, pembukaan lebih banyak PAZA dapat memastikan bantuan zakat diagihkan secara lebih profesional dan berkesan kepada lebih ramai golongan yang memerlukan.
Sempena majlis tersebut, MAIWP turut menyerahkan sebanyak 50 bakul makanan bernilai RM100 setiap satu kepada asnaf yang hadir sebagai tanda keprihatinan terhadap kebajikan mereka.
“Sumbangan ini diharap dapat membantu meringankan beban keperluan harian penerima, khususnya dalam mendepani cabaran kos sara hidup semasa,” ujar MAIWP dalam kenyataan hari ini.
Selain gimik menandatangani plak perasmian PAZA Cawangan Batu, Zulkifli turut melawat fasiliti baharu itu yang telah berpindah dari lokasi di Jalan Ipoh.
Program turut diteruskan dengan sesi ziarah ke tiga buah kediaman asnaf terpilih di Parlimen Batu.
“Ziarah ini memberi ruang kepada pihak kementerian dan MAIWP untuk menyantuni sendiri penerima bantuan, memahami realiti kehidupan mereka serta memastikan bantuan zakat yang disalurkan benar-benar memberi manfaat kepada golongan memerlukan,” ujar kenyataan itu.

MAIWP akan terus memperkukuh penyampaian perkhidmatan zakat melalui pendekatan turun padang, cakna komuniti dan mesra pelanggan demi memastikan tiada asnaf yang tercicir daripada perhatian dan pembelaan.
Agensi berkenaan turut komited membebaskan lebih ramai asnaf daripada belengu kemiskinan selain memastikan anak-anak golongan itu lebih berjaya menerusi bantuan yang diberikan. – MalaysiaGazette















