KUALA LUMPUR – Hasil risikan awal Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan kerjasama bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) berjaya menumpakan sindiket sedut curi lateks dalam satu operasi bersepadu hari ini.
Operasi bersepadu tersebut telah digerakkan secara bersama oleh Cawangan Risik Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) (PDRM) Ulu Kinta, Perak dan Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan (UIP), LGM.
Tindakan drastik ini diambil selepas pihak PGA Ulu Kinta berjaya menjejaki pergerakan mencurigakan sebuah motolori tanker yang membawa muatan susu getah (lateks) seberat 25 tan metrik di sebuah premis di Taiping, Perak.
Hasil serbuan di lokasi kejadian, premis berkenaan didapati aktif menjalankan aktiviti menyedut dan mencuri lateks secara haram serta terlibat dalam sindiket penipuan berat timbangan lori tanker.
LGM dalam kenyataan berkata, aktiviti ini merupakan satu kesalahan yang telah melanggar Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014 di bawah Peraturan 3 (1)(a): “Tiada seorang pun boleh membeli, menyimpan, menjual, memproses atau membungkus, atau mengeksport getah tanpa lesen”.
Jika disabitkan dengan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Lembaga Getah Malaysia (Pelesenan dan Permit) 2014, individu tersebut boleh dikenakan denda sebanyak tidak melebihi satu ratus ribu ringgit (RM100,000) atau dipenjarakan
selama tempoh tidak melebihi tiga (3) tahun atau kedua-duanya.
Hasil daripada operasi yang telah dijalankan, polis merampas dan menyerahkan kepada LGM empat unit intermediate bulk container (IBC) berjumlah 2,500 kg yang berisi susu getah (lateks), 50 unit plat besi seberat 20kg/unit dan beberapa barang sitaan lain yang bernilai anggaran lebih RM21,500. – MalaysiaGazette
















