KUALA LUMPUR – Sebanyak 22 syarikat dan entiti korporat membayar zakat perniagaan kepada Pusat Pungutan Zakat – Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) dengan jumlah keseluruhan RM49,901,747.28.
PPZ-MAIWP berkata, sumbangan zakat yang diterima bukan sahaja mencerminkan tahap pematuhan syariah yang tinggi dalam kalangan organisasi korporat, malah menjadi pemangkin kepada usaha memperluas agihan dan manfaat zakat kepada golongan yang memerlukan, selaras dengan matlamat memperkasa kesejahteraan ummah secara menyeluruh.
Sebanyak 22 syarikat dan entiti korporat yang menunaikan zakat perniagaan ialah Amanah Hartanah Bumiputera, Bank Islam Malaysia Berhad, Bank Muamalat Malaysia Berhad, CIMB Islamic Bank Berhad, FWD Takaful Berhad, Kenanga Investment Bank Berhad, Kolej Profesional MAIWP (KPMAIWP), KPJ Healthcare Berhad & rangkaiannya.
Selain itu, Kumpulan Wang Sumbangan Modal Pembetungan (KWSMP), NEXG Berhad, SWCorp, PLUS Malaysia Berhad, Sime Darby Property (Golfhome) Sdn Bhd, Sun Life Malaysia Takaful Berhad, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Takaful Ikhlas Family Berhad, Takaful Ikhlas General Berhad, Tenaga Nasional Berhad, TH Plantations Berhad, TH Properties Sdn Bhd (TH Universal Builders Sdn Bhd) serta UBB Amanah Berhad.
Sesi penyerahan zakat perniagaan itu disampaikan oleh wakil setiap syarikat kepada PPZ-MAIWP yang diwakili Pengerusi, Datuk Ahmad Azam Ab Rahman, dan disaksikan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Marhamah berkata, sektor korporat bukan sahaja penggerak utama ekonomi negara, malah rakan strategik dalam memperkukuh sosioekonomi masyarakat Islam, khususnya di Wilayah Persekutuan.
“Kita harus mengakui isu miskin bandar dan nasib golongan tercicir memerlukan sokongan kolektif. Sektor korporat tidak boleh bergerak sendirian, dan agensi zakat juga memerlukan rakan strategik seperti syarikat-syarikat korporat ini,” katanya.
Setakat Januari hingga Mei tahun ini, PPZ-MAIWP telah menerima RM72.2 juta zakat perniagaan daripada pelbagai sektor.
Pada tahun lalu sebanyak 16 peratus daripada kutipan zakat keseluruhan adalah daripada zakat perniagaan dengan jumlah RM196.5 juta, menjadikannya penyumbang kedua terbesar selepas zakat pendapatan. – MalaysiaGazette















