Setiausaha Agung Parti Amanah Negara, Muhammad Faiz Fadzil.

KUALA LUMPUR – Calon Parti Amanah Negara (Amanah), Sharon Teo yang akan mewakili Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bukanlah calon `payung terjun’ seperti yang didakwa.

Sebaliknya, Setiausaha Agung Amanah, Muhammad Faiz Fadzil berkata, Sharon Teo telah bergiat aktif dengan Amanah sejak 2018 dan menyandang jawatan Penolong Setiausaha Amanah Negeri Johor pada tahun 2021-2023 sebelum dilantik sebagai Ketua Wanita Muda (Warda) Amanah Negeri Johor sejak 2023.

Menurutnya, pencalonan Sharon Teo juga dibuat dengan penuh teliti oleh Jawatankuasa Pimpinan Nasional Amanah setelah melalui beberapa proses tapisan dan mesyuarat.

Sehubungan itu, ujarnya, Amanah yakin dengan kemampuan Sharon Teo sebagai calon kerusi DUN Permas yang merupakan anak jati Johor dan pencalonan beliau adalah bagi membuktikan citra Amanah yang mahu mengangkat suara golongan muda dan ?wanita dalam persada politik Malaysia.

“Kita menasihati Amanah Kawasan untuk merapatkan saf dan memberikan tumpuan bagi membantu jentera parti dalam memastikan kemenangan Pakatan Harapan di DUN Permas.

“Kemenangan dalam PRN Negeri Johor ini bukanlah memenangkan calon atas kapasiti individu tetapi untuk memastikan Amanah menyumbang satu kerusi kepada Pakatan Harapan bagi membolehkan sebuah kerajaan baharu dibentuk di Johor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Amanah Pasir Gudang menegaskan memboikot pencalonan Sharon Teo untuk bertanding di kerusi DUN Permas pada PRN Johor ke-16 selepas menyifatkannya sebagai calon ‘payung terjun’.

Penolong Setiausaha Amanah Kawasan Pasir Gudang, Haini Harun, berkata, keputusan memboikot calon berkenaan dibuat bersama kepimpinan Amanah kawasan, selain menyatakan pendirian menyokong Ketua Amanah Kawasan Pasir Gudang, Syed Othman Abdullah untuk bertanding di kawasan berkenaan.

Katanya, keputusan kepimpinan Pusat meletakkan calon wanita Cina di kawasan itu juga dikhuatiri akan menjejaskan peluang Amanah untuk memenangi pada PRN kali ini. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast