Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan pada program Ziarah Asnaf di PPR Pekan Batu, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JUN 2026.

KUALA LUMPUR – Program Ziarah Asnaf anjuran Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) terus komited membantu tiga keluarga tidak berkemampuan yang menetap di blok Program Perumahan Rakyat (PPR) Pekan Batu di sini.

Keluarga pertama, S.M. Azzuwa S. Ajmat Ali, 51, dan isterinya Norhayati Mawarni Mohammad, 45, menerima bantuan bulanan RM1,322 (tahunan RM22,064) antaranya wang sara hidup secara bulanan, barang keperluan asasi, sewa rumah, bantuan am persekolahan serta peralatan sekolah.

“Peniaga kedai runcit itu tidak lagi mampu menjalankan perniagaan kerana perlu memberi perhatian sepenuhnya kepada isteri yang diserang strok sejak dua tahun lalu,” demikian menurut kenyataan MAIWP.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan bercakap pada sidang media selepas merasmikan Pusat Agihan Zakat (PAZA) Cawangan Batu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Pusat Agihan Zakat, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JUN 2026.

Norhayati yang turut menghidap kencing manis, darah tinggi dan masalah saraf menerima bantuan perubatan am tahunan RM5,000 untuk fisioterapi dan peralatan kesihatan (secara one-off).

Wanita itu juga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 sebulan di bawah skim Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB).

Ibu lima anak itu turut menerima bantuan kerusi roda daripada MAIWP untuk memudahkan urusan pergerakannya.

Program Ziarah Asnaf Siri 2 itu diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan selepas merasmikan Pusat Agihan Zakat (PAZA) Cawangan Batu di sini.

PAZA kesembilan itu yang sebelum ini beroperasi di Jalan Ipoh, kini berpindah di lokasi baharu di Jalan Pelangi 10, Taman Pelangi, di sini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan bergambar pada Majlis Perasmian Pusat Agihan Zakat (PAZA) Cawangan Batu Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan di Pusat Agihan Zakat, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JUN 2026.

Turut hadir pada majlis perasmian, Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Datuk Mohd Nizam Yahya dan Pengerusinya, Datuk Syed Kamarulzaman Syed Kabeer serta pegawai-pegawai agensi tersebut.

Sementara itu, balu Maznah Laili, 70, turut menerima bantuan bulanan berjumlah RM1,160.80 (tahunan RM13,929.60) bagi meringankan beban yang ditanggung selepas anak  tunggalnya meninggal dunia akibat leukemia pada 2009.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan pada program Ziarah Asnaf di PPR Pekan Batu, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JUN 2026.

Warga emas itu yang hilang sumber pendapatan dan hidup sendirian sejak kematian suami pada 2021, turut diuji dengan penyakit darah tinggi, asma kronik, kolesterol, tulang belakang dan paru-paru.

Maznah yang sebatang kara, bergantung sepenuhnya dengan bantuan MAIWP selain anak saudara yang menemani dan menjaganya ketika diperlukan.

MAIWP dalam kenyataan turut mencadangkan Maznah menerima kenaikan kadar bantuan sara hidup bulanan daripada RM500 kepada RM700 serta bantuan perubatan am (underpad).

Dalam pada itu, ibu tunggal, Hamidah Md. Yussof, 60, turut menerima manfaat daripada bantuan zakat secara bulanan sebanyak RM1,124 (tahunan RM13,488) iaitu barangan keperluan asasi, sewa rumah dan bantuan menyelesaikan hutang tunggakan sewa rumah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan pada program Ziarah Asnaf di PPR Pekan Batu, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 24 JUN 2026.

Ibu enam anak yang turut kematian suami sejak tahun lalu, merupakan penghidap penyakit kronik jantung dan tiroid dan masih mendapatkan rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur (HKL). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast