Calon BN N.35 Pasir Raja, Datuk Seri Adham Baba selepas Majlis Pengumuman Calon BN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Joho ke-16 di Johor Bahru. Foto FAREEZ FADZIL, 24 JUN 2026.

**pic

JOHOR BAHRU – Datuk Seri Dr Adham Baba yang membuat kemunculan semula selepas dipilih sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada  Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berikrar akan menggunakan pengalamannya sebagai menteri dan bekas wakil rakyat di kawasan tersebut untuk membantu penduduk.

Pengumuman beliau sebagai calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja dibuat  Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada Majlis Pengumuman Calon BN Johor di Pejabat UMNO Johor, di sini hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Tenggara itu diberi kepercayaan untuk mempertahankan kubu kuat BN di Pasir Raja yang dimenangi parti itu pada PRN 2022.

Kerusi berkenaan kini disandang Rashidah Ismail yang memenangi DUN Pasir Raja dengan majoriti 4,888 undi selepas menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Pejuang pada pilihan raya lalu.

“Saya akan buat yang terbaik untuk mewakili kawasan saya. Saya juga akan usahakan untuk membawa limpahan manfaat Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) ke kawasan Johor Utara,” katanya ketika ditemui media.

Selain itu, Adham berkata, kedudukannya sebagai ketua UMNO bahagian itu akan digunakan untuk mendekati rakyat apatah lagi mengenali ramai pengundi di Pasir Raja dan Panti.

Mengikut rekod, Adham pernah berkhidmat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja selama dua penggal dari 2008 hingga 2018 sebelum beralih ke pentas Parlimen sebagai Ahli Parlimen Tenggara.

Beliau turut pernah menyandang jawatan Menteri Kesihatan dan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi dalam Kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, Adham tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebelum kembali diberi mandat oleh BN untuk bertanding pada PRN Johor kali ini.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast