Lawrence Low

KUALA LUMPUR – MCA secara konsisten menggesa kerajaan menyemak semula dasar petrol RON95 susulan penurunan ketara harga minyak mentah global.

Naib Presiden MCA, Datuk Ir. Lawrence Low berkata, cadangan parti itu adalah jelas, iaitu menurunkan harga pasaran RON95 mengikut keadaan semasa serta memansuhkan had pengisian minyak sebanyak 200 liter sebulan yang sedang berkuat kuasa.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi dan Hubungan PKS berkata, cadangan tersebut menerima sokongan meluas daripada rakyat, komuniti perniagaan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kerana dilihat mampu mengurangkan beban kewangan isi rumah dan sektor perniagaan.

Namun begitu, beberapa pemimpin DAP menolak cadangan tersebut dengan menyifatkannya sebagai mengelirukan.

Lantaran itu, katanya MCA menggesa DAP menjawab tiga persoalan asas iaitu; jika kerajaan menggunakan alasan perubahan harga minyak dunia untuk menyelaraskan subsidi apabila harga meningkat, mengapa rakyat tidak menikmati manfaat apabila harga minyak dunia menurun?

“Jika harga diesel bersubsidi telah diturunkan selaras dengan penurunan harga minyak global, mengapa mekanisme harga RON95 tidak disemak atas dasar yang sama?

“Dan, jika harga bahan api yang lebih rendah mampu mengurangkan kos sara hidup, kos operasi perniagaan dan tekanan inflasi, mengapa cadangan yang memberi manfaat langsung kepada rakyat ditentang?,” soalnya.

Setakat ini, dakwanya, DAP tiada jawapan yang jelas atau meyakinkan diberikan terhadap persoalan tersebut.

Menurutnya, apa yang menjadi keutamaan rakyat bukanlah polemik politik, tetapi pengurangan beban kewangan harian.

“Harga minyak yang lebih rendah akan memberi penjimatan kepada pekerja yang berulang-alik jauh, mengurangkan kos operasi perniagaan serta menurunkan kos logistik yang akhirnya membantu menstabilkan harga barangan dan perkhidmatan.

“Jika kerajaan mengekalkan harga subsidi RON95 pada RM1.99 seliter bagi 200 liter pertama setiap bulan, maka harga pasaran selepas had tersebut juga perlu diselaraskan dengan penurunan harga minyak global, bukannya kekal tinggi secara tidak seimbang,” katanya lagi.

Cadangan MCA ini, menurut beliau bukan bermotif politik atau tuntutan subsidi tanpa had, sebaliknya merupakan cadangan dasar yang praktikal berdasarkan keadaan ekonomi semasa dan tekanan kewangan rakyat.

“Jika rakyat diminta menanggung beban apabila harga minyak dunia meningkat, maka keadilan menuntut agar mereka turut menikmati manfaat apabila harga menurun,” ujarnya.

Lawrence berkata, MCA turut kecewa terhadap tindakan beberapa pemimpin DAP yang menolak cadangan berkenaan walaupun sebelum ini ketika berada di pembangkang, mereka sering memperjuangkan langkah-langkah bagi meringankan beban rakyat.

Sehubungan itu, MCA sekali lagi menggesa kerajaan menyemak semula dasar RON95 tanpa berlengah dengan menurunkan harga pasaran mengikut harga minyak dunia semasa serta memansuhkan had 200 liter sebulan.

Namun, jika terdapat alasan dasar yang kukuh untuk mengekalkan mekanisme sedia ada, kerajaan perlu menjelaskannya secara terbuka dan telus.

“Rakyat berhak mendapat dasar yang adil, responsif dan memberi tumpuan kepada peningkatan kualiti hidup,” kata beliau lagi.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast