Antara rokok seludup yang dirampas dalam satu operasi di Jalan Sin On Tiku. - Foto: Facebook PPM Sabah

KUALA LUMPUR  – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok tidak bercukai selepas merampas pelbagai jenama rokok bernilai hampir RM600,000 dalam satu operasi di Jalan Sin On Tiku, malam tadi.

Dalam operasi kira-kira pukul 9 malam pada 23 Jun lalu, anggota PPM bertindak menahan sebuah kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang dipandu dalam keadaan mencurigakan hasil maklumat awam dan risikan.

Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan itu menemukan sejumlah besar rokok tidak bercukai yang dipercayai diseludup dari negara jiran Indonesia untuk dipasarkan di sekitar Tawau.

Susulan itu, dua lelaki warga tempatan berusia 35 dan 40 tahun ditahan bagi membantu siasatan.

Antara rokok yang dirampas ialah pelbagai jenama termasuk Premium, Nice, L.A Menthol dan L.A Mango dengan jumlah keseluruhan sebanyak 365,200 batang rokok tidak bercukai.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.

Nilai keseluruhan rampasan termasuk kenderaan dianggarkan berjumlah RM593,800.

PPM Wilayah 4 Sabah dalam kenyataannya menegaskan akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan penyeludupan yang bukan sahaja menjejaskan hasil negara malah boleh mengancam keselamatan serta kesejahteraan masyarakat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast