Mohd Puad Zarkashi.

KUALA LUMPUR – Datuk Dr. Mohd Puad Zakarshi membalas kritikan Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambros, yang menegaskan bahawa kesetiaan kepada parti perlu kekal tanpa mengira kedudukan atau keadaan semasa.

Bagaimanapun, Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, teguran supaya beliau setia kepada parti seperti ketika mempunyai jawatan adalah tidak tepat.

Katanya, beliau pernah melalui dua fasa tidak memegang jawatan dalam parti, iaitu selepas kekalahan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 dan ketika Barisan Nasional kehilangan kuasa pada PRU ke-14.

Sepanjang tempoh itu, Puad berkata, beliau tetap mempertahankan parti dan aktif menulis serta menyuarakan pandangan walaupun berdepan tindakan saman berjumlah RM10 juta daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi Perdana Menteri kelapan.

Bahkan, ujarnya, beliau setiap hari menulis membela parti, selain podcast “Jangan Berlapik” adalah inisiatif sendiri tanpa pembiayaan parti.

“Maka tidak payahlah mengajar saya bab setia parti. Saya setia kepada perjuangan parti, bukan kepada individu. Tetapi apabila pemimpin menjadi boneka, saya berhak bersuara untuk menyelamatkan parti,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Beliau turut menegaskan, kesetiaan tidak bermakna berdiam diri terhadap perkara yang dianggap boleh merosakkan parti, sambil menyifatkan tindakan berdiam diri tanpa teguran sebagai sesuatu yang boleh melemahkan organisasi politik.

Dalam masa sama, beliau membidas Noor Azleen yang disifatkannya sebagai kurang memahami maksud sebenar kesetiaan dalam perjuangan politik, khususnya dalam kalangan generasi muda. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast