Ab Rahaman Arsad

JOHOR BAHRU – Polis membuka kertas siasatan terhadap kenyataan yang dikeluarkan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menerusi media sosial selepas menerima 153 laporan polis di seluruh negara setakat pukul 3 petang tadi.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, dua laporan polis turut dibuat oleh bekas Exco Kerajaan Negeri Johor dan Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Johor pada pukul 10.53 pagi dan 12.13 tengah hari tadi.

“Setakat pukul 3 petang, sebanyak 153 laporan polis diterima di seluruh Malaysia dan pihak polis menjangkakan jumlah itu akan terus meningkat,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, siasatan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 melibatkan perbuatan yang mempunyai kecenderungan menghasut, manakala Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menghormati proses siasatan yang sedang berjalan serta tidak membuat sebarang komen atau spekulasi yang boleh menimbulkan kegentaran awam.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan kemudahan rangkaian atau perkhidmatan aplikasi bagi tujuan yang menyalahi undang-undang.

“Kerjasama semua pihak amat diperlukan bagi memastikan ruang digital kekal sebagai platform yang selamat serta memupuk budaya komunikasi yang matang, berfakta dan saling menghormati demi kesejahteraan sosial dan kestabilan negara,” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast